Saingan tetap hangat, unik
Kuala Lumpur: Secara kelaziman, Liga Super akan dibuka dengan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, namun musim 2024/25 menampilkan kelainan dan ‘keunikan’ tersendiri apabila aksi pembuka tirai itu tidak dapat dilangsungkan seperti biasa.
Dua gergasi tempatan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) sepatutnya berentap di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi namun perlawanan itu ‘hangus’ selepas SFC tidak menyertai perlawanan terbabit atas faktor keselamatan.
Dengan aksi Sumbangsih sebenar tidak dapat dilangsungkan, jadi ini bermakna pertembungan antara PDRM FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), petang ini boleh dinobatkan sebagai ‘Piala Sumbangsih Gantian’.
The Cops, Kenari buka tirai
Situasi itu menyaksikan skuad ‘The Cops’ dan skuad ‘Kenari’ diberikan penghormatan terbesar untuk membuka tirai musim baharu dan lebih manis, Stadium MPS kembali ‘ditauliahkan’ sebagai venue pasukan Liga Super bagi musim ini.
Berdasarkan pencapaian musim lalu, ini pertembungan pasukan di tangga keempat (KDA FC) dan kelapan (PDRM FC) - ini situasi yang unik memandangkan aksi pembuka tirai sebelum ini menampilkan kelibat dua pasukan terbaik negara musim sebelumnya.
Selain itu, satu lagi venue baharu turut dirasmikan apabila Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) menjadi gelanggang Sri Pahang FC (SPFC) di mana mereka melayan kunjungan ‘pasukan baharu’, Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang dijenamakan semula daripada Kelantan United.
Selaras penjenamaan semula KDN FC, pasukan itu menjadi antara pasukan yang rancak mendapatkan pemain baharu jadi, sejauh mana perubahan drastik ini mampu memacu pasukan itu yang menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-12 liga.
Satu lagi aksi akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) membabitkan Terengganu FC (TFC) menentang Perak FC dan tumpuan pasti terarah kepada pemain JDT, Safawi Rasid yang kembali secara pinjaman ke pasukan Pantai Timur itu.
Sayangnya, kelibat seorang lagi pemain, Akhyar Rashid tidak dapat disaksikan susulan kecederaan atas insiden malang yang menimpa, jadi amat menarik untuk menyaksikan sama ada Safawi dapat menembusi kesebelasan utama ataupun bermula dari bangku simpanan.
Sejauh mana impaknya bersama skuad Penyu dalam misi untuk dia kembali ke prestasi terbaiknya seperti yang pernah ditunjukkan bersama skuad Harimau Selatan sebelum ini.
Buat Perak FC, Yusri Che Lah pasti mengharapkan barisan pemain mudanya akan menjadi bertambah matang selepas mengutip pengalaman berentap bersama ‘abang besar’ dalam Liga Super pada musim lalu.