FBM KLCI kukuh bukti pelabur yakin
Bursa Malaysia lepasi 1,600 mata serlah daya tahan ekonomi negara
Kuala Lumpur: Prestasi Bursa Malaysia, FBM KLCI yang melepasi 1,600 mata untuk merekodkan paras tertinggi dalam tempoh dua tahun dan menyaksikan modal keseluruhan pasaran ekuiti negara melebihi RM2 trilion pada awal minggu ini, menjadi bukti daya tahan ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ia juga menunjukkan kekukuhan pasaran saham tempatan di tengah-tengah ketegangan geopolitik global yang berterusan.
“Yang penting, ia juga menunjukkan bahawa langkah pembaharuan kerajaan di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI sedang berjalan dan peningkatan keyakinan pelabur.
“Pelbagai strategi dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan terus berjalan seiring dalam merealisasikan sasaran utama Ekonomi MADANI,” katanya merasmikan CIMB Securities Sdn Bhd di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Securities Sdn Bhd, Ruzi Rani Ajith.
Amir Hamzah berkata, sebagai penjaga kesejahteraan ekonomi Malaysia, Kementerian Kewangan diamanahkan dengan tanggungjawab menggubal dasar dan strategi untuk memastikan pertumbuhan mampan, kestabilan kewangan dan kesejahteraan untuk semua rakyat.
Beliau berkata, inti pati utama kepada mandat itu adalah peningkatan dan pembangunan pasaran modal Malaysia.
Secara keseluruhan katanya, perkembangan pasaran modal Malaysia mencerminkan komitmen untuk memupuk pertumbuhan, inovasi dan daya tahan dalam sektor kewangan, meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan dan aktiviti pasaran modal.
Justeru, katanya, langkah dilaksanakan kerajaan seperti Pelan
Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 serta reformasi ekonomi di bawah Belanjawan Negara 2024 dapat membantu semua ini.
“Usaha ini merangkumi pelbagai kementerian dan agensi, mencerminkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan fokus kolektif menaikkan siling dan lantai, membuka laluan ke arah pertumbuhan ekonomi yang nyata dan mampan.
“Dalam usaha menaikkan siling dan lantai, terdapat banyak ruang untuk semua pemain dalam ekosistem ekonomi untuk mengambil peranan.
“Oleh itu, kerajaan melihat kepada sektor korporat untuk meningkatkan penyertaan mereka,” katanya.
Sasar pertumbuhan tertinggi
Sementara itu, Ruzi berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan
satu digit tertinggi dalam bahagian pasaran menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, ia akan terlaksana melalui pelan pelaburan lima tahunnya dalam teknologi dan infrastruktur.
Katanya, kumpulan memperuntukkan sejumlah besar untuk memastikan ia menyediakan pemerkasaan digital bukan sahaja untuk kecekapan operasi, tetapi juga untuk mendemokrasikan produk dan kebolehcapaian kepada pasaran antarabangsa untuk pelanggan.
“Kami komited dan sudah mula melabur dalam teknologi. Ia akan melebihi rancangan lima tahun.
“Kami sudah memperuntukkan sejumlah besar untuk memastikan kami menyediakan pemerkasaan digital, bukan sahaja untuk kecekapan operasi, tetapi juga untuk mendemokrasikan produk dan juga kebolehcapaian ke pasaran antarabangsa untuk pelanggan kami,” katanya.