Berita Harian

Fahami sambutan Aidilfitri dari sudut agama

- Muhamad Afiq Aiman Musa, Baling Kedah

Adakah sambutan Aidilfitri kini semakin membosanka­n atau sebenarnya kerana usia kita semakin bertambah maka kehadiran hari raya tidak lagi membawa makna?

Sesetengah orang beranggapa­n sambutan hari raya hanya untuk kanak-kanak. Sebaliknya bagi yang lebih dewasa akan berkait dengan isu semasa, misalnya peningkata­n kos untuk membuat persediaan selain perbelanja­an untuk pulang ke kampung dan sebagainya.

Selain itu, ramai melihatnya sebagai hari untuk berehat dan bercuti sambil melayan tetamu atau melayari media sosial.

Malah mungkin kerana diraikan setiap tahun, Aidilfitri menjadi rutin dan tiada lagi keistimewa­annya bagi sesetengah orang. Justeru, ramai yang memilih untuk melancong pada waktu perayaan.

Benarkah pandangan sebegitu? Adakah perayaan hanya masa untuk berehat dan bercuti? Sebenarnya, memahami perayaan Aidilfitri dari sudut agama amat penting. Ia dirai sebagai hari kemenangan selepas umat Islam berpuasa selama 30 hari.

Ia juga masa untuk berkumpul sesama ahli keluarga, mempererat­kan silaturahi­m apatah lagi bagi yang lama terpisah atas sebab komitmen kerjaya dan sebagainya.

Lebih untung bagi mereka yang masih ada ibu bapa kerana itulah detiknya untuk meraikan hari istimewa. Bagi mereka yang kehilangan ibu bapa, tentu sahaja detik 1 Syawal menjelma sudah tidak ada lagi meriahnya.

Waktu cipta memori bersama

Justeru, hari raya bukan sambutan kanak-kanak sahaja untuk mengutip duit raya atau memeriahka­n suasana dengan dentuman mercun dan warna-warni bunga api. Ia juga bukan hanya waktu untuk kita bercuti dan santai sebaliknya patut disambut dengan ingatan, adakah kita masih berkesempa­tan lagi menyambut Ramadan dan meraikan Syawal berikutnya?

Adakah dengan menjadi dewasa, sambutan hari istimewa dalam kalendar Islam itu sudah tidak ada lagi makna?

Jadi, pada dasarnya, nikmatilah sambutan hari raya dengan betul dan kadarnya. Ia boleh menjadi menyeronok­kan dan bermanfaat untuk kita, selagi selari dengan syariat.

Itulah masa kita berkumpul dan saling bertanya khabar juga mengikuti perkembang­an semasa ahli keluarga dan saudara. Mungkin ada yang mulutnya sedikit lancang bertanya soal peribadi mengenai perkahwina­n, anak atau jodoh, tetapi apa salahnya menjawab dengan bijaksana dan berhemah.

Jangan ikutkan trend dalam media sosial yang cepat melabelkan pertanyaan orang tua sebagai biadab atau suka mencampuri hal orang lain. Ada kala mereka sekadar berbasa-basi bertanya khabar kerana sudah lama tidak bersuara. Jangan berasa hati dengan soalan begitu, sebaliknya lapangkan dada dan jadilah insan mulia adabnya.

Jadikan masa berkumpul itu sebagai waktu kita mencipta memori dan menjadi orang yang matang kerana belum pasti untuk Ramadan atau Syawal depan kita akan bertemu lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia