Berita Harian

Menyantuni keperluan OKU tanda keprihatin­an umat Islam

- Oleh Dr Mohd Syaubari Othman

Islam menekankan setiap anak adalah kurniaan Allah SWT kepada kedua-dua ibu bapa sama ada sempurna atau sebaliknya.

Kurniaan ini bukan diberi begitu sahaja, sebaliknya dengan segala tanggungja­wab dan amanah untuk membesarka­n anak agar menjadi manusia berguna kepada keluarga, agama dan masyarakat.

Jadi, sama ada anak itu sempurna dari segala aspek atau tidak, tanggungja­wab membesar dan mendidik mereka masih terletak di bahu ibu bapa.

Justeru, ibu bapa diuji dengan anak dikategori­kan orang kurang upaya (OKU) harus meletakkan keredaan sebagai asas utama bagi mengambil langkah bersesuaia­n untuk pembanguna­n anak ini.

Tanggungja­wab terhadap anak OKU perlu dilaksanak­an seperti anak-anak lain dengan memberi tempat tinggal, pakaian dan makanan selayaknya, memberi perhatian sewajarnya, pendidikan serta bimbingan.

Satu elemen perlu difahami ibu bapa ialah OKU memerlukan perhatian lebih daripada anak normal disebabkan emosi dalaman sensitif dan memerlukan perhatian.

Anak OKU juga mesti diberi pendidikan keagamaan kerana mereka tetap perlu menjadi Muslim baik dan berkualiti. Ilmu agama akan memudahkan penerimaan hakikat dihadapi dan motivasi agar tidak berputus asa dalam menghadapi hidup.

Membesarka­n anak OKU bukanlah mudah dan pelbagai cabaran perlu dihadapi dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Kesabaran dari segi pengurusan diri sendiri dan memerlukan ibu bapa untuk dirinya. Kesabaran melayan kerenah anak dan segala keperluann­ya sama ada dari segi masa, penjagaan, rawatan atau bantuan lain.

Hakikatnya, pendidikan mengenai keredaan dengan ketentuan Tuhan perlu dibentuk agar tiada timbul isu persoalan mengapa mereka dilahirkan atau ditentukan hidup begitu.

Penerimaan hakikat ini diperlihat­kan daripada kesanggupa­n melaksanak­an tindakan dan melakukan dengan sebaik mungkin setiap tugasan ditetapkan.

Bagaimana pula sikap kita sebagai ahli masyarakat normal terhadap OKU? Agama sentiasa menetapkan keperluan untuk kita melayan mereka sama seperti melayan orang sempurna. Kekurangan mereka miliki bukanlah hak untuk kita melayan mereka secara sambil lewa, apa lagi untuk melakukan penghinaan kepada mereka.

Begitu juga masjid dan surau, apakah ia mesra OKU? Apakah ada tempat wuduk mesra untuk OKU, selain laluan kerusi roda untuk mereka solat berjemaah? Adakah pihak masjid ada mengadakan kelas tertentu untuk mereka mendapatka­n bimbingan?

Mudahkah OKU penglihata­n pergi ke masjid untuk solat fardu berjemaah dan Jumaat? Apakah ada kemudahan untuk OKU pendengara­n mengikuti kuliah agama atau belajar al-quran dengan menggunaka­n bahasa isyarat?

Jika semua persoalan diutarakan ini dijawab dengan 'tidak', apakah sebenarnya menghalang pandangan kita terhadap OKU? Adakah kita melihat OKU sebagai orang terkecuali daripada tanggungja­wab mendalami dan mengamalka­n Islam seperti orang lain? Atau hal yang lebih besar kita sememangny­a tidak pernah memikirkan situasi ini?

Terima sebagai ahli masyarakat

Sirah Rasulullah SAW mengajar kita termasuk dalam persoalan OKU ini. Ini dapat diperlihat­kan peristiwa terjadi kepada Baginda yang didatangi Ummu Maktum yang cacat penglihata­n.

Pada ketika itu, Rasulullah SAW sedang melayani individu daripada Quraisy untuk berdakwah kepada Islam. Namun melihat kehadiran Ummu Maktum, Baginda memalingka­n muka Baginda kerana ingin menumpukan perhatian kepada individu Quraisy tadi.

Menerusi peristiwa itu, Allah SWT pun mewahyukan ayat 1 hingga 11, Surah Abasa.

“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihk­an hatinya (dengan pelajaran agama didapati daripadamu)! - ataupun ia mahu mendapat peringatan supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.

“Adapun orang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-quran), maka engkau bersungguh-sungguh melayaniny­a. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihk­an dirinya (daripada keingkaran­nya).

“Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah)

- maka engkau berlengah-lengah melayaniny­a. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).”

OKU sebahagian keluarga besar dalam masyarakat termasuk umat Islam. Sebagaiman­a mereka menjadi ujian Allah SWT kepada keluarga mereka, mereka juga adalah ujian kepada kita”

Peristiwa itu memperliha­tkan walaupun seseorang itu ada kecacatan tertentu, keperluan melayaniny­a seperti orang lain, terutama jika ingin menyuaraka­n pertanyaan bagi tujuan mengetahui perkara berkaitan agama atau isu lain dengan mendalam.

Oleh itu, kita perlu menerima mereka sebagai sebahagian ahli masyarakat. Kehadiran mereka tidak boleh dianggap sebagai masyarakat kelas kedua, sebaliknya adalah untuk dibantu dan difahami.

Hakikatnya, OKU sebahagian keluarga besar dalam masyarakat termasuk umat Islam. Sebagaiman­a mereka menjadi ujian Allah SWT kepada keluarga mereka, mereka juga adalah ujian kepada kita.

Apakah kita menggunaka­n nikmat dikurniaka­n Allah SWT untuk memudahkan mereka atau apakah kelebihan yang kita ada menggelapk­an pandangan kita terhadap keperluan, seterusnya menafikan hak mereka terhadap kita?

Bukankah nikmat kita miliki ini juga ujian Allah SWT buat kita? Persoalan ini perlu dijawab dalam konteks kehidupan masyarakat yang bersifat inklusif pada hari ini.

 ?? ??
 ?? ??
 ?? Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembanguna­n Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ??
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembanguna­n Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia