Berita Harian

Penyucian jiwa buang sifat tercela langkah perangi nafsu

- Oleh Dr Khairulniz­am Mat Karim bhrencana@bh.com.my

Arus pemodenan dunia semakin menggila kini memerlukan setiap Muslim memperting­katkan diri mereka dengan bekalan kerohanian lebih utuh supaya tidak mudah teruja dan tergoda dengan hamparan kenikmatan duniawi melampau.

Oleh itu pendedahan ilmu penyucian jiwa sebagai asas kepada pembentuka­n rohani berkualiti dan selaras dengan kehendak Islam perlu diketengah­kan kepada masyarakat Muslim masa kini bagi memastikan kehidupan setiap individu dipandu ajaran Islam.

Justeru, ilmu penyucian jiwa adalah satu-satunya jalan ataupun kaedah dalam Islam bagi membolehka­n penganutny­a mengenali hakikat sebenar tujuan kehidupan di dunia ini.

Lebih tepat lagi, istilah penyucian jiwa ini berkait rapat dengan ilmu kerohanian begitu signifikan dalam Islam sebagai jalan paling utama bagi penganutny­a untuk mendekatka­n diri kepada Allah dan mengenali Islam secara total.

Boleh dikatakan kebanyakan umat Islam memahami najis muhafafah, mutawasita­h dan mughallaza­h bersifat fizikal, tetapi tidak ramai memahami ‘kekotoran’ batin dan juga cara ‘menyucikan­nya’.

Sedangkan penyucian sebegitu amat penting sehingga Allah SWT menegaskan di dalam alquran bermaksud: “Sesungguhn­ya beruntungl­ah orang menyucikan jiwa”. (Surah al-syams, ayat 9)

Penyucian jiwa di sini amat penting kerana dengan kesucian hatilah manusia akan dapat menikmati kebahagiaa­n hakiki. Kebahagiaa­n hakiki itu pula adalah hasil daripada perhubunga­n manusia dengan Penciptany­a.

Justeru, Islam menggarisk­an beberapa kaedah penyucian jiwa supaya masyarakat Muslim sentiasa menjaga dan mendidik serta mengendali­kan nafsunya sehingga mampu membezakan kebaikan serta kejahatan.

Kejayaan mentadbir jiwa dan hawa nafsu inilah dikategori­kan sebagai tunjang kerohanian dalam Islam. Ini kerana, melalui unsur dalaman ia akan menghubung­kan seseorang hamba dengan Tuhan.

Oleh itu, Islam meletakkan kesucian spiritual sebagai akar umbi mesti dititikber­atkan setiap penganutny­a dalam konteks taqarrub kepada Tuhan dijanakan melalui amalan penyucian jiwa.

Imam al-ghazali dalam karya agungnya ‘Minhaj al-abidin’ menukilkan tujuan pembersiha­n jiwa untuk mendidik hawa nafsu yang wujud di dalam setiap diri manusia supaya tidak melupakan Allah SWT, seterusnya membimbing nafsu tidak melakukan sebarang perkara boleh menyebabka­n dan mendatangk­an dosa.

Al-tusi pula menyatakan tujuan pembersiha­n jiwa manusia hanyalah untuk mencapai satu matlamat iaitu mendekatka­n serta membina kembali hubungan dengan Allah SWT.

Dalam hal ini, beliau menjelaska­n seseorang hamba itu perlu berusaha dengan bersungguh­sungguh untuk mencari jalan supaya mereka mampu mendekatka­n diri kepada Allah SWT.

Menurut beliau, pencapaian sebenar dalam konteks penyucian jiwa individu hanya akan dapat digarap apabila seseorang itu berupaya merasai dan menyaksika­n dengan mata hatinya kehadiran Allah SWT dalam jiwa. Apabila hal ini terjadi, sudah pasti jiwa manusia akan menumpukan seluruh perhatiann­ya kepada Allah SWT.

Tingkatkan amalan

Dalam hal ini, al-tusi meletakkan konsep mendekatka­n diri kepada Allah SWT sebagai landasan utama mengapa seseorang itu perlu menyucikan jiwanya. Ini sekali gus memperting­katkan lagi amalan individu Muslim supaya jiwanya sentiasa mengingati Allah SWT.

Begitu juga halnya dengan apa yang diungkapka­n al-ghazali, beliau meletakkan aspek pendidikan hawa nafsu sebagai matlamat pembersiha­n jiwa manusia yang mana akhirnya membawa kepada satu tujuan iaitu mendekatka­n diri kepada Allah SWT.

Dalam konteks umat Islam, jalan untuk mengenali Tuhan hanya boleh dicapai selepas melalui proses penyucian jiwa, iaitu dengan penyingkir­an sifat mazmumah atau keji dan hina diganti dengan sifat

Islam menggarisk­an beberapa kaedah penyucian jiwa supaya masyarakat Muslim sentiasa menjaga dan mendidik serta mengendali­kan nafsunya sehingga mampu membezakan kebaikan serta kejahatan

terpuji dan mulia atau mahmudah serta memahami tujuan hakiki manusia diciptakan.

Di samping itu, gesaan terhadap melaksanak­an amalan penyucian jiwa ini amat berkait rapat bagi membentuk individu Muslim berakhlak mulia.

Hal ini bertepatan dengan perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai pembimbing umat manusia dilihat sebagai contoh terbaik mempamerka­n keunggulan akhlak sebenar perlu dipupuk dalam jiwa setiap umat Islam.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-ahzab ayat 21 bermaksud: “Demi sesungguhn­ya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan baik, iaitu bagi orang sentiasa mengharapk­an (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.”

Dalam Surah al-qalam ayat 4, Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan sesungguhn­ya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak sangat mulia.”

Kedua-dua ayat di atas menunjukka­n betapa besar dan agungnya akhlak Rasulullah dikhabarka­n Allah SWT kepada kita sebagai umatnya. Atas dasar itulah Allah SWT mengutuska­n Nabi Muhammad SAW sebagai pembimbing manusia bagi membentuk nilai akhlak seimbang rohani dan jasmani.

Jelasnya, pelaksanaa­n konsep penyucian jiwa dianjurkan Islam bertujuan mendekatka­n diri seseorang hamba itu dengan Penciptany­a, melalui pembuangan sifat tercela dan dihiasi pula dengan sifat terpuji serta memberi penekanan penuh terhadap pengawalan hawa nafsu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Musuhmu paling ganas ialah nafsumu sendiri yang berada antara dua sisimu.” (HR al-baihaqi)

 ?? ??
 ?? Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidik­an, Kolej Pendidikan Berterusan (CCED), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) ??
Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidik­an, Kolej Pendidikan Berterusan (CCED), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia