Berita Harian

Pastikan Kerajaan Perpaduan terus kukuh

PM ajak pengundi beri mandat kepada calon BN bawa kemajuan

-

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman penting untuk memastikan Kerajaan Perpaduan terus kukuh dan berupaya meneruskan pelbagai usaha menjaga kebajikan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebab itu saya datang susah payah hari ini, sebab saya mahu orang Kemaman bagi isyarat jelas, nak apa lagi kita belum buat, berdepan Amerika Syarikat, kita sanggup, buat program pendidikan kita sanggup.

“Bawa perubahan? kita ajak UMNO, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PKR, DAP, Amanah, GPS, GRS, kita cuba selesaikan,” katanya pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI PRK Kemaman di Dataran Restoran Cahaya Mesra, Geliga, malam kelmarin.

Justeru, Anwar meminta rakyat Kemaman mengangkat calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang telah berjasa kepada negara, sebagai wakil rakyat pada 2 Disember ini, sekali gus memecahkan rekod pemerintah­an PAS di Terengganu.

Beliau berkata, calon yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera itu, bukan calang-calang orang dan beliau melalui pelbagai rintangan sebelum diangkat ke jawatan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia itu.

Kenang jasa

“Nak naik kena melalui Menteri Pertahanan kepada Perdana Menteri, kepada Yang di-pertuan Agong perkenan bagi pihak Rajaraja Melayu, baru terangkat beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan rekod beliau sebagai PAT itu rekod yang baik, tak ada cacat cela.

“Sekurang-kurangnya orang Kemaman, kenang jasa orang yang jaga, pertahan setiap inci bumi bertuah ini,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga memberi jaminan bekas Panglima Angkatan Tentera itu tidak hanya akan jadi ahli Parlimen biasa sekiranya menang, Sabtu ini.

“Dengan kedudukan beliau, saya percaya kalau dia jadi ahli Parlimen, tak akan nak jadi ahli Parlimen biasa, kita kena bagi tugas supaya hubungan dengan kerajaan dan Perdana Menteri baik, jadi pastikan kemenangan calon BN,” katanya.

Anwar turut menzahirka­n ucapan terima kasih kepada BN khususnya UMNO, yang memperkuku­hkan pembentuka­n Kerajaan Perpaduan sehingga berjaya mencapai setahun pemerintah­an bersama.

“Hari ini genap satu tahun Kerajaan Perpaduan dan yang membantu menegakkan Kerajaan Perpaduan ini ialah BN dan UMNO, kerana pemimpin UMNO itu bukan calang-calang orang seperti (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi, yang berani ambil keputusan dan istiqamah dengan keputusan itu,” katanya.

PRK esok menyaksika­n Raja Mohamed Affandi berdepan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia