Berita Harian

Muafakat pelantikan penghulu luak

Pemilihan pemimpin adat perpatih bersendi adat berdasarka­n suara rakyat

- Oleh Abnor Hamizam Abd Manap bhsastera@bh.com.my

Seremban: Umumnya bagi mereka di luar Negeri Sembilan, istilah seperti luak adalah sesuatu yang janggal. Malah dalam kamus bahasa Melayu luak membawa maksud berkurang atau susut.

Namun di Negeri Sembilan sesuai dengan amalan adat perpatih, luak merujuk kepada bahagian pentadbira­n bagi kawasan yang terpengaru­h.

Luak adalah satu daripada kumpulan utama adat perpatih selain perut dan suku. Perut adalah unit masyarakat terkecil diketuai oleh seorang buapak yang dipilih oleh anggota atau anak-anak buah daripada satu perut.

Baru-baru ini istiadat pelantikan Mazri Mansol, 54 sebagai Penghulu Luak Jempol yang ke-12 mencuri perhatian. Pelantikan Mazri yang datang daripada suku Biduanda Pasak Perut Tarum dibuat selepas penyandang sebelumnya meninggal dunia pada November 2021.

Tiga jenis luak

Mengulas pelantikan itu, pengkaji budaya dan juga Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (teromba), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin, berkata pelantikan Penghulu Luak antara adat yang masih diamalkan hingga kini kerana jawatan itu mempunyai peranan tersendiri.

Katanya, terdapat tiga jenis luak di Negeri Sembilan iaitu Luak Berundang merujuk kepada luak-luak adat dipimpin oleh seorang Undang.

Luak Tanah Mengandung pula bermaksud kawasan yang mengandung­i luak merangkumi wilayah diraja Negeri Sembilan iaitu Seri Menanti, manakala Luak Tampin dipimpin oleh pembesar bergelar Tunku Besar.

“Daripada tiga luak itu penghulu luak hanya ada di Luak Tanah Mengandung dengan terdapat lima orang menjawat jawatan berkenaan.

“Pada setiap tiga tahun acara ‘Adat Penghulu Menghadap’ dibuat bagi setiap penghulu memperbaha­rui taat setia kepada Yang di-pertuan Besar,” katanya.

Mohd Rosli berkata, disebabkan Luak Tanah Mengandung merangkumi wilayah diraja, setiap pemimpin luak bernaung di bawah Yang dipertuan Besar dan digelar penghulu.

“Sebenarnya, amalan pelantikan dan kewujudan jawatan itu adalah antara penegasan paling jelas amalan adat perpatih di negeri ini.

“Majoriti penduduk di Negeri Sembilan adalah berketurun­an Melayu Minangkaba­u dan mereka itu terbahagi kepada beberapa puak yang dipanggil suku.

“Jadi amalan tradisi ini sangat signifikan kepada mereka,” katanya.

Malah katanya, setiap luak ini memiliki fungsi dalam pelantikan Yang di-pertuan Besar menerusi peranan undang luak yang empat iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu.

Katanya, berbeza dengan amalan diraja di negeri lain, pelantikan Yang di-pertuan Besar tidak dibuat mengikut keturunan misalnya daripada bapa kepada anak, sebaliknya diputuskan menerusi perbincang­an dan pemilihan oleh undang luak yang empat.

Jawatan undang luak itu pula katanya, dibuat atas pemuafakat­an oleh datuk-datuk lembaga di setiap luak berkaitan. Datuk lembaga merujuk kepada pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar buapak.

“Jadi berdasarka­n sistem itu, secara keseluruha­nnya kuasa melantik seseorang pemimpin mengikut adat perpatih adalah di tangan rakyat biasa dan inilah satu ciri yang bersamaan dengan sistem demokrasi,” katanya.

Katanya, pada zaman dahulu penghulu luak turut bertugas menjaga keamanan kerana pada zaman itu belum wujud sistem pertahanan seperti sekarang.

Giliran Perut Tarum

Sementara itu bagi Alias Isa ketua bagi Datuk-datuk Lembaga Suku Nan 12 yang bergelar Datuk Maharaja Setia, istiadat menabal Penghulu Luak Jempol ke-12 itu dibuat atas pemilihan semua Datuk Lembaga Nan 12.

Katanya, istiadat dijalankan mengikut adat dengan persiapan istiadat dibuat di Balai Penghulu Luak dan di luar balai.

Ia merangkumi pekerjaan seperti memasang tabir langit, bantal gadang dan peralatan adat di dalam balai, manakala pemasangan panji -panji putih hitam, hitam putih, payung dan peralatan alat kebesaran seperti tombak berambu, pedang di luar balai.

“Bagi pemilihan penghulu baharu ini sebenarnya sudah bermula selepas 100 hari penghulu sebelum ini meninggal dunia iaitu pada November 2021.

“Pemilihan ini dibuat mengikut peraturan adat misalnya pelantikan kali ini adalah giliran Perut Tarum dilantik sebagai Penghulu Luak Jempol. Pengisian jawatan ini dibuat secara bergilir-gilir antara Perut Tarum dan Perut Mayam,” katanya.

Alias berkata, disebabkan pelantikan itu bersendika­n adat, jadi prosesnya memakan masa. Sesudah pemilihan dan kata putus dibuat, hanya pada 4 Ogos tahun lalu, istiadat pengisytih­aran Penghulu Luak Jempol di, Batu Kikir.

Ia kemudianny­a disusuli dengan istiadat menzahirka­n Pengulu Luak Jempol kepada Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti pada 2 April lalu.

Tambah Alias, istiadat kerjan (menabal) diadakan di Balai Penghulu Luak dan ia wajib dilaksanak­an bagi setiap pelantikan baharu.

 ?? ?? Penghulu Luak Jempol ke-12 Mazri Mansol diarak di atas tandu sambil diiringi kumpulan rebana dalam isiadat kerjan di Balai Penghulu Luak Jempol, Kampung Serting Ilir.
Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamshulka­har Mohd Deli berucap pada Istiadat Kerjan Penghulu Luak Jempol ke-12.
Penghulu Luak Jempol ke-12 Mazri Mansol diarak di atas tandu sambil diiringi kumpulan rebana dalam isiadat kerjan di Balai Penghulu Luak Jempol, Kampung Serting Ilir. Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamshulka­har Mohd Deli berucap pada Istiadat Kerjan Penghulu Luak Jempol ke-12.
 ?? ?? Istiadat Datuk -Datuk Lembaga Luak Jempol merafak sembah Penghulu Luak Jempol.
Istiadat Datuk -Datuk Lembaga Luak Jempol merafak sembah Penghulu Luak Jempol.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia