Berita Harian

Penggunaan isu 3R (Raja, Agama, Kaum) oleh parti politik

-

Perbezaan politik itu adalah lumrah. Parti politik bebas untuk menyerang antara satu sama lain, nak cerita kata dasar mereka lebih baik, lebih komprehens­if dan sebagainya, silakan, tiada isu.

Tetapi, apabila mengatakan menyokong parti ini dianggap menyokong Islam dan tidak menyokong dianggap terkeluar daripada Islam, itu tidak boleh dan dari segi Islam pun tidak mengajar begitu. Ini seolah-olah hijack ajaran sebenar Islam dan trend ini semakin besar.

Saya masih ingat ketika Pakatan Rakyat, saya mempunyai hubungan baik dengan pemimpin elit PAS ketika itu seperti Ustaz Fadhil Nor, Tan Sri Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Harun Din. Kefahaman saya mengenai Islam ketika itu tidak seperti sekarang ketika PAS di bawah Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Hubungan ketika itu sangat harmoni. Pendekatan Nik Aziz kita semua anak cucu Nabi Adam, Tuhan jadikan kita supaya saling kenal mengenal, dia baca ayat al-quran depan orang Cina dan orang Cina tak takut pun.

Ini nak bawa Malaysia jadi gembala lembu atau gembala babi. Ini kenyataan datang daripada Presiden PAS (Abdul Hadi). Takkan kita nak pecahkan rakyat ini dengan soal bela lembu atau bela babi. Ini trend 1980-an ketika dia mula-mula berucap dahulu, misalnya Malaysia ini mempertaha­nkan undang-undang penjajah.

Abdul Hadi lupa ketika angkat sumpah di Parlimen, dia akan memberi taat setia dan mempertaha­nkan Perlembaga­an. Masa nak jadi ahli Parlimen, sanggup mempertaha­nkan Perlembaga­an, selepas itu?

Isu 3R kini semakin serius. Polis sudah tubuhkan pasukan khas untuk siasat perkara 3R. Saya percaya pimpinan baharu PDRM pun akan memberi tumpuan kepada aspek ini sebab trend ini berlaku dalam negara kita yang berbilang kaum dan trend ini sangat tidak bagus.

Saya percaya, polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

Kalau kita lihat kepada corak politik PAS sekarang, mereka akan teruskan trend ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tak nampak tanda surut. Apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin keluarkan arahan supaya institusi masjid tidak digunakan untuk politik, dia (Abdul Hadi) tak patuh pun.

Apabila Yang di-pertuan Agong kata pilihan raya sudah selesai, kita sudah wujudkan Kerajaan Perpaduan dan kekalkan kestabilan politik. Jadi, apabila ditanya percubaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengambil alih kerajaan ini bercanggah dengan nasihat Raja-raja, dia (Abdul Hadi) kata arahan Tuanku Raja-raja bukan muktamad.

Saya masih ingat ketika hendak selesaikan krisis Selangor (beberapa tahun lalu) apabila PKR meminta Tan Sri Khalid Ibrahim (bekas Menteri Besar Selangor) melepaskan jawatan. Berlaku pilihan raya kecil (PRK) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dan sepatutnya menjadi Menteri Besar, namun usaha itu gagal kerana Abdul Hadi tidak memberi sokongan.

Pada waktu itu, saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa dengan dia di Kuala Terengganu. Pakatan Rakyat sudah membuat keputusan iaitu Wan Azizah (sebagai Menteri Besar), semua cukup sokongan, hanya tinggal nak angkat nama. Abdul

Hadi kata, tidak boleh kerana pertama, wanita tak boleh menjadi Menteri Besar dan kedua, dia kata Raja tak setuju.

Kemudian dia kata kepada saya, “Saifuddin, kalau ente (anda) main politik nak membelakan­gkan Raja-raja Melayu, lebih baik jangan main politik. Kalau nak jadikan Raja-raja Melayu sebagai tunggul kayu, jangan main politik.”

Sekarang, Raja kata jangan guna masjid, lain pula jadinya. Masa saya engage (terbabit) dengan Almarhum Ustaz Fadhil Nor dan Nik Aziz, bukan begini cara politik PAS. Saya lihat trend ini dalam kalangan pemimpin baharu pemimpin PAS, betul-betul ambil line (cara) ini, memecahkan perbezaan politik itu sebagai perbezaan akidah atau keimanan dan itu sangat serius, kena dihentikan.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia