Berita Harian

Subsidi RM70B pastikan rakyat mampu hadapi kos sara hidup

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Kementeria­n Kewangan unjur keperluan sebenar berikutan kenaikan harga pelbagai barangan

Putrajaya: Lebih RM70 bilion nilai subsidi keseluruha­n diperuntuk­kan kerajaan pada tahun ini, tambahan kepada RM33 bilion yang diluluskan Parlimen pada 2021 demi memastikan rakyat tidak terkesan dengan impak kenaikan harga barang dan situasi inflasi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata Kementeria­n Kewangan mengunjurk­an keperluan sebenar subsidi pada tahun ini mencecah lebih RM70 bilion berikutan kenaikan harga pelbagai barangan, jauh lebih tinggi berbanding dana yang sudah diluluskan sebelum ini.

“Sidang Parlimen tahun lalu meluluskan anggaran pelbagai bentuk subsidi RM33 bilion, namun berdasarka­n kenaikan pelbagai barangan, Kementeria­n Kewangan mengunjurk­an keperluan sebenar pada tahun ini lebih RM70 bilion.

“Ini bermakna kerajaan terus beri subsidi kepada barangan tertentu bagi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan dengan inflasi yang sedang berlaku dan mengekalka­n inflasi tahap terendah,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di sini semalam.

Annuar berkata, kadar inflasi di negara ini masih rendah, iaitu 2.8 peratus berbanding negara lain yang kini mencecah dua digit, disebabkan komitmen kerajaan yang menggunaka­n pendekatan mengawal kenaikan harga barang keperluan dengan membayar subsidi.

“Penubuhan jawatankua­sa (pasukan khas jihad) ini tanda komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan kadar inflasi kekal rendah dan pendekatan memberi subsidi pada barangan tertentu akan dikekalkan,” katanya.

Mengenai pasukan khas berkenaan, Annuar berkata, ia tidak terhad kepada ahli yang sudah disenaraik­an, sebaliknya menteri daripada kementeria­n lain akan turut diundang untuk menyertain­ya jika isu yang ingin dibincangk­an terkait rapat dengan pihak berkaitan.

“Beberapa agensi sudah diputuskan untuk menyertai jawatankua­sa ini termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kumpulan pakar rujuk yang mempunyai kemahiran, pandangan dan nasihat mengenai langkah yang boleh diambil,” katanya.

Ditanya sama ada penubuhan pasukan khas berkenaan seakan sama dengan jawatankua­sa lain seperti Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (NACCOL), Annuar berkata, ia tidak menimbulka­n masalah dan laporan serta hasil mesyuarat pasukan berkenaan akan dibawa kepada Jemaah Menteri dan NACCOL.

“Pentingnya daripada laporan kita ini, kita ada jawatankua­sa peringkat nasional, NACCOL yang dipengerus­ikan Perdana Menteri. Selain itu, sudah tentu kita ada mesyuarat mingguan Kabinet setiap Rabu, memang membincang­kan masalah harga dihadapi rakyat,” katanya.

Pasukan khas itu turut dianggotai Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ia mengumpul semua maklumat daripada kementeria­n, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordi­nasi tindakan menyelesai­kan isu berkaitan inflasi, khususnya kawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.

Memperinci­kan mesyuarat yang dipengerus­ikannya semalam, Annuar memaklumka­n, ia turut membincang­kan isu subsidi ayam dan telur ayam yang diumumkan baru-baru ini.

“Kita nak tegaskan kerajaan sangat memahami. Sekiranya harga ayam diapungkan, tinjauan yang dibuat mendapati harga sekilogram ayam boleh sehingga RM11 dan ia dikukuhkan dengan tinjauan harga di negara sekitar.

“Perdana Menteri tidak mahu ia berlaku kepada Keluarga Malaysia dan membuat ketetapan supaya harganya dikawal.

“RM330 juta disediakan bagi pastikan semua pihak dalam industri ayam diberi perhatian sewajarnya,” katanya memberi jaminan bekalan ayam dalam negara lebih daripada mencukupi.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi jaminan beberapa tindakan akan diambil bagi memastikan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran mencukupi dengan Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memberi penelitian terperinci berkaitan hal itu.

Katanya, kekurangan minyak masak mungkin disebabkan ketirisan dan mungkin kerana berita palsu subsidi akan dihentikan sehingga menyebabka­n orang ramai mula panik dan membeli barang keperluan itu melebihi daripada yang diperlukan.

“Jumlah (minyak masak) disubsidi ada 60,000 tan, bancian yang dibuat sebenarnya setiap bulan kita memerlukan kira-kira 50,000 tan, namun kita lebihkan 10,000 tan. Jadi ia lebih daripada cukup dan kita akan uruskan dengan lebih baik lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau sudah mengarahka­n Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang mengaut keuntungan berlebihan menjual minyak masak secara dalam talian.

“Semalam terdapat iklan di platform jualan dalam talian membuat tawaran menjual lima paket minyak masak satu kilogram dengan harga RM27. Penjualan itu adalah secara terbuka sedangkan harga untuk lima paket sekitar RM12.50 sahaja.

“Minyak masak subsidi tidak sepatutnya diniagakan semula, jadi kita minta SKMM untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada. Peniaga jangan salah guna subsidi yang diberikan, ia untuk bantu ringankan bebanan B40, jangan ambil kesempatan ketika rakyat menghadapi tekanan harga barang,” katanya.

 ?? (Foto hiasan) ?? Kerajaan peruntukan RM330 juta bagi pastikan semua pihak dalam industri ayam diberi perhatian sewajarnya.
(Foto hiasan) Kerajaan peruntukan RM330 juta bagi pastikan semua pihak dalam industri ayam diberi perhatian sewajarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia