Berita Harian

Bank digital mampu tarik lebih ramai pelabur

-

Perkembang­an dalam sektor perbankan digital Malaysia yang memperliha­tkan lima konsortium memperoleh lesen bank digital, dijangka menarik lebih ramai pelabur asing ke negara ini.

Rakan dan Ketua Amalan Ekuiti Swasta (PE) di Asia Tenggara Bain & Company, Usman Akhtar, berkata perbankan digital bersedia untuk menarik pelabur sama seperti pasaran global yang lain.

“Perbankan digital menarik minat pelaburan dalam pelbagai pasaran dan kami memberi jaminan bahawa tidak ada kekurangan pelabur yang teruja dengan perkhidmat­an kewangan digital.

“Perbankan digital akan menjadi tema yang boleh dilabur pada masa hadapan dan kita mesti memerhatik­annya,” katanya pada sesi soal jawab semasa taklimat media mengenai Laporan Ekuiti Swasta Asia Tenggara Bain and Company 2022, semalam.

Selama bertahun-tahun, sektor internet dan teknologi menyumbang bahagian terbesar jumlah dan nilai urus niaga merentas landskap PE Asia Pasifik yang lebih besar.

Di Asia Tenggara, ekonomi digital terus berkembang pesat apabila pelaburan berteraska­n teknologi kekal dominan di Indonesia (60 peratus daripada kiraan perjanjian) dan menerajui pertumbuha­n di Singapura (50 peratus daripada kiraan perjanjian) dan Vietnam (55 peratus daripada kiraan perjanjian).

Sektor lain seperti penjagaan kesihatan dan perkhidmat­an kewangan mula mengambil bahagian yang ketara sebagai sasaran pelaburan, dengan masingmasi­ng mewakili 18 peratus dan sembilan peratus daripada kiraan perjanjian.

Mengulas mengenai trend ekuiti swasta di Malaysia, Penasihat Kanan Perniagaan PE Global Bain, Suvir Varma, berkata berbeza dengan Singapura, Vietnam dan Indonesia, aktiviti ekuiti swasta negara ini kurang aktif, walaupun ia terus menarik pelaburan asing.

“Kami terus melihat transaksi sekali-sekala dalam produk pengguna, logistik kejurutera­an ketepatan dan pusat logistik kemudahan e-dagang, tetapi pelabur melihat lebih banyak peluang pelaburan berorienta­sikan pertumbuha­n yang menarik dalam pasaran Asia Tenggara yang lain,” tambahnya. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia