Berita Harian

Syed Saddiq didakwa

Ahli Parlimen Muar turut dituduh salah guna wang PRU-14

- Oleh Zanariah Abd Mutalib zanariah_mutalib@bh.com.my

Ahli Parlimen Muar didakwa atas tuduhan pecah amanah dana RM1 juta milik parti dan salah guna wang RM120,000 sumbangan untuk kempen PRU-14.

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgu­nakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanap­un, Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang diamanahka­n penguasaan ke atas dana ARMADA, melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluara­n wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgu­nakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalik­an Pengarah Kanan Bahagian Perundanga­n dan Pendakwaan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir serta Mohd ‘Afif Ali.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S Ambiga dan Haijan Omar.

Hakim Azura membenarka­n Syed Saddiq diikat jamin RM300,000 bagi pertuduhan pertama, dengan seorang penjamin, dengan RM50,000 perlu di bayar semalam dan bakinya selewat-lewatnya pada Selasa ini.

Bagi pertuduhan kedua, beliau diarah membayar ikat jamin RM30,000, dengan seorang penjamin dan perlu dibayar sepenuhnya, semalam.

Tertuduh juga diarah menyerahka­n pasport antarabang­sa kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicaraka­n dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Kuala Lumpur, sekali dalam sebulan.

Selain itu, mahkamah tidak mengeluark­an sebarang perintah larangan (gag order) terhadap tertuduh, seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Hakim Azura menetapkan 10 September depan bagi sebutan semula kedua-dua kes.

Terdahulu, dalam hujahnya, Faridz Gohim memohon supaya mahkamah mengeluark­an perintah larangan supaya tertuduh tidak membuat sebarang komen terbuka mengenai pertuduhan berkenaan kerana ia sudah dituduh di mahkamah.

Bagaimanap­un, permohonan itu dibantah Gobind, yang menyifatka­n ia sebagai tidak berasas dalam undang-undang dan jika ada sebarang kenyataan yang tidak wajar dikeluarka­n anak guamnya, pihak pendakwaan boleh mengemukak­an permohonan yang perlu kepada mahkamah.

Gobind turut mempersoal­kan mengapa pertuduhan ke atas Syed Saddiq dibuat tiga hari sebelum Sidang Parlimen diadakan, sedangkan izin dakwa bagi pertuduhan pertama sudah diperoleh pihak pendakwaan pada 4 Januari lalu.

Faridz Gohim menjelaska­n, tidak ada tarikh luput bagi izin dakwa dan terpulang kepada pihak pendakwaan untuk membawa kes itu ke mahkamah pada masa yang ditentukan.

Beliau turut memaklumka­n, tertuduh akan berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dalam masa terdekat dan kes itu akan dipohon untuk dipindahka­n ke sini.

 ??  ??
 ?? (Foto Aizuddin Saad/bh) ?? Syed Saddiq keluar selepas membayar ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
(Foto Aizuddin Saad/bh) Syed Saddiq keluar selepas membayar ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia