PAC panggil KJ, Tengku Zafrul beri keterangan
Sebarang keputusan ambil kira pelbagai aspek elak risiko jangkitan
Putrajaya: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung pembelian dan penggunaan vaksin COVID-19 sepanjang tempoh proklamasi darurat.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi akan dipanggil semula pada 27 Julai, manakala Tengku Zafrul akan dipanggil pada 28 Julai.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata keterangan kedua-dua menteri berkenaan dilihat perlu kerana PAC berpendapat, senario perolehan vaksin yang dibuat sepanjang tempoh proklamasi darurat sudah berubah berbanding Januari lalu.
Shah Alam: Kajian untuk memberikan kelonggaran kepada individu yang melengkapkan suntikan imunisasi akan dibuat bersandarkan beberapa faktor, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia merangkumi model pelaksanaan yang digunakan negara jiran dan fakta sains, selain kebimbangan diutarakan pelbagai pakar kesihatan.
Katanya, sebarang keputusan dimuktamadkan Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu akan dibuat secara menyeluruh, bagi mengelak risiko penularan jangkitan pada masa depan.
“Kita ambil maklum semua perkara, termasuk kebimbangan pakar seperti dalam laporan muka depan akhbar semalam.
“Ada pihak yang bimbang dan minta supaya terus kuat kuasakan larangan rentas negeri serta daerah, tetapi berkemungkinan beberapa pengecualian berupaya diberikan.
“Contohnya, pasangan jarak jauh yang masing-masing sudah lengkap suntikan imunisasi, maka kita boleh benarkan mereka rentas daerah dan negeri untuk berjumpa.
“Jawatankuasa Teknikal MKN sedang buat kajian, kita tiada garis masa bila ia akan dimuktamadkan kerana perlu diperhalusi secara berhati-hati,” katanya pada sidang media, semalam.
Terdahulu, beliau meninjau operasi kilang Pharmaniaga Berhad, di sini, dan menyaksikan penyerahan kelompok terakhir bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal berkenaan. Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
BH menerusi laporan muka depan semalam, memaparkan pendirian pakar kesihatan yang meminta supaya kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam mempertimbangkan kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin.
Antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan kes jangkitan Kategori Satu dan Dua, selain mengekalkan larangan rentas negeri serta daerah.
Ismail Sabri berkata negara jiran, termasuk Singapura masih giat mempertimbangkan kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin, memandangkan situasi semasa pandemik COVID-19 berubah-ubah.
Katanya, negara jiran itu sebelum ini membenarkan kelonggaran untuk makan di kedai, namun mula menarik balik keputusan berkenaan kerana bimbang risiko penularan jangkitan.
“Justeru, ia petanda bahawa kita tidak boleh ambil ringan mengenai keputusan memberikan kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin ini.
“Bagaimanapun, kita juga ambil kira keperluan memberikan kelonggaran kepada jenis perniagaan yang sudah memberikan suntikan imunisasi kepada semua pekerjanya.
“Selain itu, jenis perniagaan tertentu ini tidak merekodkan sebarang rekod pembentukan kluster COVID-19, justeru ada asas tertentu yang diambil kira sebelum kita beri kelonggaran untuk beroperasi,” katanya.