Kepentingan sarapan
Sarapan boleh meningkatkan kepekaan.
Ramai orang kata sarapan membuatkan anda mengantuk, terutama di dalam kelas. Itu adalah mitos paling biasa.
Universiti of Bath menjalankan kajian selama enam minggu dengan meneliti tahap aktiviti dua kumpulan berbeza, satu kumpulan mengambil sarapan dan satu lagi sebaliknya. Pasukan penyelidik mendapati yang mengambil sarapan membakar lebih 500 kalori berbanding yang tidak mengambil sarapan. Secara keseluruhannya, mereka juga dilihat lebih lesu dan tidak bermaya.
Tidak mengambil sarapan menyebabkan kita tidak mempunyai tenaga untuk kekal fokus dan peka. Jadi sarapan membantu anda meningkatkan keupayaan otak bagi mengekalkan kepekaan kanak-kanak di dalam kelas.
Tahap tenaga boleh dipulihkan melalui sarapan.
Orang dewasa memerlukan sarapan untuk lebih bertenaga, jadi sarapan adalah lebih penting, terutama bagi kanak-kanak, untuk pertumbuhan dan perkembangan otak dan tubuh.
Kanak-kanak membesar sewaktu tidur dan kehilangan 80 peratus daripada tenaga mereka ketika bangun pagi. Ia bagaikan berpuasa masa tidur dan perlu menambah tenaga. Bersarapan memberi 20 peratus tenaga dan nutrien harian untuk menambah sumber tenaga.
Selepas tidur purata lapan jam, bekalan glikogen anda menjadi semakin rendah. Glikogen ialah sejenis glukosa yang disimpan di dalam tisu otot dan hati yang digunakan perlahan-lahan sepanjang malam bagi memastikan tahap gula dalam darah stabil.
Sarapan mengembalikan tahap glikogen selain meningkatkan tenaga serta metabolisme. Anak anda akan mempunyai cukup tenaga aktiviti fizikal, misalnya pendidikan jasmani di sekolah.
Bersarapan mengurangkan tabiat makan snek.
Sarapan membantu anda berasa kenyang dan mengurangkan keinginan mengambil snek tidak berkhasiat atau makan dengan berlebihan.
Mereka yang tidak
bersarapan makan lebih banyak ketika tengah hari menjadikan tabiat pemakanan tidak seimbang.
Menurut kajian Universiti of Missouri, sarapan, terutama yang mengandungi protein tinggi, akan meningkatkan tahap dopamin (bahan kimia otak yang bertanggungjawab mengawal impuls) dan mengurangkan tabiat makan snek secara berlebihan.
Selain itu, sarapan memberi kesan positif terhadap cara makan sepanjang hari. Jadi, kalau kekurangan masa, sekurang-kurangnya minum secawan malt coklat sebelum keluar dari rumah.
Nutrien sarapan yang penting.
Kanak-kanak tidak mengambil sarapan mungkin mengalami masalah kekurangan serat, vitamin dan mineral yang merangkumi zat besi, zink serta vitamin B2.
Sarapan membekalkan kebanyakan nutrien diperlukan untuk sehari. Kami nasihatkan anda supaya mengambil makanan mengandungi nutrien seperti folat, zat besi, vitamin B dan serat.
Walaupun tubuh mempunyai cukup tenaga untuk bertahan sebelum hidangan seterusnya, anda masih perlu menambah vitamin dan mineral demi mengekalkan kesihatan serta terus bermaya.
Untuk pilihan lebih sihat, anda boleh mencuba roti mil penuh bersama secawan malt coklat yang mengandungi protomalt serta vitamin dan mineral penting yang membantu
pembebasan tenaga yang optimum, mengurangkan rasa penat dan menyokong fungsi tubuh yang normal pada waktu pagi.
Mengurangkan risiko penyakit kronik.
Walaupun kebanyakan isu penyakit kronik memberi kesan kepada golongan dewasa, mendidik anak dengan tabiat sihat sejak kecil membantu mereka untuk jangka masa panjang.
Kajian menunjukkan, pengambilan sarapan boleh mengawal berat badan dan lipid profil kanak-kanak sekolah dan menggalakkan aktiviti fizikal.
Selain itu, kanak-kanak yang mengambil sarapan cenderung mempunyai profil nutrisi unggul berbanding rakan yang tidak bersarapan. Ingat, sarapan adalah penting, namun penting juga untuk memastikan sarapan seimbang.
Lima kumpulan makanan untuk kanak-kanak:
Di sini ada panduan mudah untuk ibu bapa dalam memastikan anak mengambil makanan seimbang dan diperlukan sebelum memulakan hari masing-masing.
Telur / Daging / Kekacang (Protein)
Protein bersama pengambilan karbohidrat membantu anda berasa puas dan kenyang
pada waktu pagi. Telur menjadi penyelesaian pantas dan mudah mengandungi 70 kalori. Namun, ambil secara sederhana kerana pengambilan berlebihan meningkatkan kolesterol. Elak mengambil protein berlemak tinggi seperti sosej, sebaliknya ambil dada ayam atau tuna.
Tip: Satu sarapan popular rakyat Malaysia ialah roti bakar bersama telur separuh masak dengan minuman malt coklat. Cadangan lain adalah menambah kacang panggang, anak-anak pasti menggemarinya.
Sayur-sayuran dan buah-buahan (serat pemakanan, vitamin dan mineral).
Anda mungkin tahu serat pemakanan penting untuk penghadaman. Anda boleh mendapatkan serat daripada buah, sayur dan bijirin penuh. Serat menghalang masalah sembelit.
Tip: Anda boleh mencuba roti bakar mil penuh dengan hirisan pisang bersama mentega kacang. Jika membuat sandwic telur tuna, letakkan sekali daun salad dan/atau tomato. Ambil buah-buahan berbanding jus kerana ia mengandungi lebih banyak serat makanan.
Bijirin
Makanan ini kaya dengan vitamin B, riboflavin, thiamine dan niasin membantu melepaskan tenaga daripada makanan. Selain roti, anda boleh menghidangkan bijirin sarapan penuh kepada anak.
Produk tenusu
Kalsium dikaitkan dengan pembinaan tulang kuat untuk kanak-kanak. Apa yang ramai orang tidak tahu ialah kalsium memainkan peranan penting memastikan otot dan urat saraf berfungsi sebaikbaiknya.
Tip: Yogurt, ‘smoothies’ dan keju boleh menjadi sumber kalsium yang sihat - cuba tambah sekeping keju dalam sandwich tuna anak anda.
Disediakan oleh Pengurus Pemakanan Korporat, Nestle Products Sdn Bhd, Cher Siew Wei.