Berita Harian

Aksi ‘buku bertemu ruas’

- Oleh Helmi Talkah helmi.talkah@bh.com.my

Pendahulu MHL berdepan ujian sebenar menentang THT

Kuala Lumpur: Pendahulu Liga Hoki Malaysia (MHL), Maybank bakal berdepan ujian sebenar apabila turun menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada aksi keempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Maybank yang dibimbing Azrul Effendy Bistamam ketika ini selesa di tangga teratas liga apabila mengutip sembilan mata selepas menang ketigatiga perlawanan awal ke atas Universiti Teknologi MARA (UITM), TNB Thurderbol­ts dan Nurinsafi.

Azrul berkata, dia sudah mempunyai formula buat pasukan bimbingann­ya bagi menghadapi THT yang dianggap salah satu pencabar utama kejuaraan liga musim ini.

“Saya yakin pemain saya akan terus memberikan komitmen yang baik di atas padang.

“Kami tahu kualiti dimiliki THT yang mempunyai pemain berpengala­man seperti Faizal Saari dan Fitri Saari selain penjaga gol mereka. Saya jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sengit untuk kedua-dua pasukan,” kata Azrul.

Sementara itu, jurulatih THT, K Rajan berkata, misi pasukan itu ketika ini adalah untuk menang semua baki perlawanan termasuk pertemuan dengan Maybank bagi mengintai peluang untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan liga di tempat kedua.

“Itu adalah sasaran utama kami sekarang. Jika kami menang semua baki perlawanan, selepas itu kita akan lihat di mana kedudukan kami,” katanya.

THT membuka tirai kempen musim penuh bergaya apabila membelasah Sabah 11-0, tetapi tewas 2-4 di tangan juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) sebelum bangkit menundukka­n UITM 4-0 dalam perlawanan ketiga.

 ??  ?? Aksi pemain Maybank menentang Nurinsafi, kelmarin.
Aksi pemain Maybank menentang Nurinsafi, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia