Berita Harian

Malaysia perintis khidmat bas automatik di Asia Tenggara

Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia laksana program ujian tiga bulan bermula April

- Oleh Alzahrin Alias zahrin@bh.com.my

Sistem pengangkut­an bas tanpa pemandu kendalian sepenuhnya secara automatik bakal direalisas­ikan di Iskandar Malaysia dalam tempoh terdekat, sekali gus menjadikan Malaysia negara pertama Asia Tenggara memiliki kemudahan itu.

Sistem pengangkut­an bas pandu sendiri yang dikenali sebagai Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) itu akan melaksanak­an program ujian perintis selama tiga bulan bermula April ini.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembanguna­n Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, berkata Iskandar Malaysia juga akan menjadi bandar pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menguji sistem Rapid Transit Automatik (ART) menerusi program ujian perintis itu.

“Sembilan syarikat pengeluar bas akan terbabit dalam program rintis itu, selain pembabitan agensi penguat kuasa dan pengawal selia lain,” katanya pada taklimat media secara maya, semalam.

Beliau berkata, IMBRT akan menjadi penyelesai­an pengangkut­an awam baharu di Malaysia, khususnya di Johor untuk menyediaka­n penyelesai­an pengangkut­an awam yang mesra alam, selain membantu ekonomi golongan sasar.

IMBRT, katanya, adalah projek yang akan mengubah landskap pengangkut­an awam darat kerana mempunyai ciri-ciri inovatif, termasuk penggunaan teknologi kenderaan pandu sendiri, bekalan tenaga elektrik serta reka bentuk bas futuristik.

Jelasnya, program rintis itu penting untuk menentukan sistem serta kecekapan IMBRT serta membolehka­n pengawal selia memberikan keputusan akhir.

“Ini adalah peringkat awal ujian sebelum kita menentukan syarikat pengeluar bas yang akan terbabit dalam projek ini kelak. Projek IMBRT dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Sembilan syarikat pengeluar itu terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabang­sa. IRDA akan menentukan teknologi serta sistem yang sesuai untuk digunakan melalui program rintis ini berdasarka­n keperluan semasa.

“Selain itu, program ini akan memberi peluang pihak berwajib membuat penilaian terhadap kebolehlak­sanaan projek IMBRT,” katanya.

Ismail berkata, projek IMBRT akan dimulakan suku keempat tahun ini selepas semua urusan, termasuk reka bentuk dan juga proses pengambila­n tanah selesai.

Katanya, IRDA masih pada peringkat awal mengenai aspek reka bentuk serta pengambila­n tanah untuk beberapa tapak terminal utama.

“IRDA juga dalam proses mendapatka­n kelulusan pihak berwajib untuk ke tapak dan seterusnya memulakan kerja,” katanya.

Kos pelaksanaa­n projek IMBRT adalah sekitar RM2.56 bilion yang dibiayai menerusi kerajaan Pusat sebanyak RM1 bilion, manakala bakinya menerusi kerjasama swasta-awam bernilai RM1.56 bilion.

Mengenai sasaran pelaburan Iskandar Malaysia, Ismail berkata, pandemik COVID-19 memberi cabaran yang luar biasa kepada ekonomi negara serta global.

Lantaran itu, katanya, IRDA mengurangk­an sedikit sasaran pelaburan Iskandar Malaysia tahun ini kepada hanya RM17 bilion berbanding jumlah pelaburan yang diterima pada 2020 sebanyak RM24 bilion.

 ??  ?? Gambaran perkhidmat­an Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia.
Gambaran perkhidmat­an Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia