Biden berdepan tekanan selepas longgar kemasukan migran
Brownsville: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berdepan tekanan berhubung dasarnya melonggarkan kemasukan migran ke negara itu.
Tindakan itu menyaksikan peningkatan migran terutama ribuan kanak-kanak yang tiba di sempadan As-mexico secara bersendirian dengan harapan lebih mudah dibenarkan masuk.
Biarpun pentadbiran Biden berjaya menangani isu kemasukan warga asing bermusim, pihak Republikan mendakwa pendekatan ‘berlembut’ itu mendorong peningkatan jumlah migran berbanding era bekas Presiden AS, Donald Trump.
Ahli Kongres Republikan, Kevin Mccarthy, menyifatkan dasar dibuat Biden mendorong masalah lebih besar berbanding hanya sekadar krisis.
“Anda boleh terus menafikan tetapi satu-satunya cara menyelesaikannya adalah dengan terlebih dulu mengakui kesilapan dan menarik balik tindakannya atau Kongres perlu melakukannya,” katanya.
Seorang lagi Ahli Kongres Republikan, Chuck Fleischmann, berkata pentadbiran Biden mencipta persekitaran yang mendorong peningkatan migrasi.
Malah, terdapat wakil rakyat Republikan yang mendakwa dasar dibuat Biden memberi keuntungan kepada kumpulan penjenayah pemerdagangan manusia.
Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki, berkata Biden mewarisi ‘sistem rosak’ daripada Trump.
“Seperti masalah lain, kami melakukan yang terbaik untuk menyelesaikannya,” katanya.
Dianggarkan seramai 100,000 migran berada di sempadan selatan AS, termasuk kira-kira 9,500 kanak-kanak yang tidak ditemani, peningkatan 28 peratus berbanding Januari lalu. AFP