SPRM tahan 32 anggota JPJ
44 individu ditangkap dalam Operasi Sukat babit penguat kuasa, orang awam terima RM150 hingga RM3,000 sebulan
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 44 individu membabitkan penguat kuasa dan orang awam di lima negeri, disyaki terbabit dengan sindiket melindungi pemandu lori.
Selain 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), turut ditahan masing-masing seorang anggota dan bekas anggota polis trafik, serta 10 orang awam.
Penahanan dilakukan melalui Operasi Sukat digerakkan SPRM sejak kelmarin, di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Perlis.
Sumber berkata, semua yang ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya membawa muatan berlebihan dan tidak mematuhi aspek teknikal.
Difahamkan, pegawai JPJ berkenaan membabitkan pelbagai gred, termasuk pegawai kanan, manakala orang awam pula bertindak sebagai proksi.
“Antara modus operandi dikesan ialah pegawai terbabit tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan jalan raya, selepas menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.
“Mereka dipercayai menerima antara RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1.64 juta dan perbuatan ini dipercayai dilakukan antara 2019 hingga tahun lalu,” katanya semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan hasil kerjasama pihaknya dan JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan berkenaan.
Sebelum ini, 18 anggota JPJ Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth atas dakwaan menerima rasuah daripada pemilik sebuah syarikat pengangkutan yang dipercayai melakukan kesalahan jalan raya, khususnya yang membawa lebih muatan di sekitar negeri ini.
Ia susulan tangkapan lebih 70 individu majoritinya membabitkan anggota dan pegawai JPJ negeri itu sepanjang April 2019, yang antara lain turut membocorkan maklumat operasi jabatan.
Wang diterima dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan, dengan modus operandi digunakan membekalkan pelekat khas kepada lori yang dilindungi supaya mudah dikenal pasti.
Mengulas tangkapan menerusi Operasi Sukat kelmarin, Azam berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan.
“Objektif siasatan tertumpu kepada kesalahan rasuah mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009, membabitkan isu salah laku. Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin,” katanya.
Sumber
Antara modus operandi dikesan ialah pegawai terbabit tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan jalan raya, selepas menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.