Berita Harian

Kulit gatal petanda gejala COVID-19?

Sihat 37

- Oleh Siti Haliza Yusop bhnews@bh.com.my

Selain gejala demam dan menyerang sistem pernafasan serta paruparu, kajian membuktika­n kegatalan kulit juga boleh menyebabka­n jangkitan COVID-19.

Kajian disiarkan Karger Journals, terdapat sesetengah pesakit mengalami gejala penyakit kulit sebagai petanda dijangkiti wabak COVID-19.

Sehingga kini banyak kajian sudah dilakukan di United Kingdom (UK) dan Itali bagi melihat kaitan antara penyakit kulit dengan virus COVID-19, yang dikesan kali pertama di Wuhan, China, pada Disember 2019.

Gegata dan ruam di kulit

Pakar Perunding Dermatolog­i Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Noor Zalmy Azizan, berkata di Malaysia gejala penyakit kulit membabitka­n COVID-19 tidak begitu ketara, berkemungk­inan sekitar 0.2 peratus kes bagi 500 pesakit berbanding di Eropah mencecah sehingga 20 peratus.

Katanya, penyakit kulit paling lazim membabitka­n pesakit COVID-19 yang dilaporkan di Eropah ialah sejenis ruam, iaitu ‘morbillifo­rm rash’.

“Ia terjadi disebabkan jangkitan viral seperti COVID-19 yang turut berpunca daripada virus.

“Ada pesakit dilaporkan mengalami gegata atau urticaria yang akan menyebabka­n biji dan bintat pada tubuh,” katanya.

Gejala ini disifatkan sebagai simptom prodromal atau simptom awalan sebelum gejala lazim COVID-19 seperti batuk dan sesak nafas muncul.

Jari kaki kebiruan

Dr Noor Zalmy berkata, ada pesakit dilaporkan mengalami ruam seperti demam campak manakala dalam kalangan kanak-kanak, paling banyak dilaporkan ialah mengenai simptom jari kaki kebiruan yang turut dikenali sebagai ‘Covid Toes’.

Bagi yang mengalami jangkitan COVID-19 pada fasa lebih teruk dan boleh membawa maut akibat

‘cytokine storm’. Pesakit dilaporkan mengalami coagulapat­hy atau ketidaksei­mbangan sistem pembekuan darah yang teruk.

"Pesakit mungkin mengalami penyakit kulit yang menyebabka­n bengkak berwarna biru dan ungu gelap pada badan dan kaki atau purpuric vasculitis.

“Penemuan terbaharu itu membuktika­n COVID-19 turut menyerang kulit dan bukan hanya paruparu dan sistem usus,” katanya.

Berisiko pada organ sihat

Kajian di Itali, pesakit COVID-19 yang mengalami gejala purpuric vasculitis di tahap lebih teruk, ditempatka­n di Unit Rawatan Rapi (ICU) memandangk­an wabak itu sudah memusnah dan memakan saluran darah mereka. Pada peringkat ini, ‘cytokine storm’ mula memberi kesan kepada organ terutama paru-paru dan buah pinggang sehingga boleh membawa maut.

“Tubuh pesakit akan menghasilk­an banyak radang bagi melawan virus dan penghasila­n terlalu banyak sel ini akan turut memberi kesan kepada organ yang sihat.

“Pada peringkat ini, virus akan turut menyerang saluran darah kulit sekali gus menyebabka­n timbul lebam biru pada tubuh dan kaki pesakit,” katanya.

Ruam kulit jarang di Malaysia

Dr Noor Zalmy berkata, penyakit kulit membabitka­n pesakit COVID-19 boleh berlaku pada beberapa fasa dalam penularan wabak itu sendiri.

Ruam seperti demam campak yang dilaporkan di Itali, hanya muncul selepas tiga hari pesakit COVID-19 mengalami simptom batuk dan biasanya reda sendiri dalam tempoh tujuh hari.

"Tiada jangka masa tetap pesakit akan mula mendapat penyakit kulit. Bagi ruam morbillifo­rm, ada pesakit dilaporkan mendapat penyakit kulit ketika disahkan dijangkiti COVID-19, tetapi sebahagian lagi hanya mendapat ruam selepas keluar hospital

"Kebanyakan tanda ruam kulit disebabkan COVID-19, dilaporkan di Eropah tetapi jarang ditemui dalam kalangan pesakit Malaysia," katanya.

Berbeza penyakit kulit biasa

Ada antara penyakit kulit yang mempunyai kaitan dengan wabak ini turut dikesan pada mereka yang tidak mempunyai simptom lazim.

Ia termasuk kalangan kanak-kanak yang mendapat tanda kebiru-biruan di jari kaki mirip gigitan fros seperti dilaporkan di United Kingdom dan Itali.

“Penyakit kulit dalam kalangan pesakit COVID-19 biasanya sembuh sepenuhnya apabila virus itu dirawat dan pesakit pulih.

“Ia juga berbeza dengan penyakit kulit biasa termasuk ekzema dan psoriasis yang boleh berulang walaupun sudah dikawal,” katanya.

Kajian perlu dilakukan

Dr Noor Zalmy berkata, kajian penyakit kulit dengan COVID-19 perlu mula dilakukan di negara ini tambahan lagi virus itu sudah sedia berada dalam masyarakat.

“Pemerhatia­n penularan COVID-19 melalui sakit kulit adalah kaedah pengesanan tambahan terutama apabila ada kalangan pesakit COVID-19 tidak menunjukka­n sebarang simptom lazim wabak.

“Ujian terhadap pesakit mempunyai ruam COVID-19 boleh dilakukan melalui pengambila­n sampel biopsi kulit.

“Jika didapati ada kesan vasculitis apabila dikaji di bawah mikroskop, ia mungkin boleh digunakan bagi meramal sama ada pesakit akan mendapat penyakit COVID-19 pada tahap lebih teruk,” katanya.

Ada sesetengah gejala sakit kulit termasuk gegata, disifatkan sebagai simptom prodromal, iaitu gejala awal mungkin menunjukka­n permulaan penyakit sebelum gejala COVID-19.

“Dengan ini bukan saja lebih mudah untuk pesakit dipantau, malah ujian Real-time Reverse Transcript­ion-polymerase Chain Reaction (RT-PCR) boleh dilakukan bagi mengesan sekiranya pesakit dijangkiti virus COVID-19,” katanya.

Kebanyakan tanda ruam kulit disebabkan COVID-19, dilaporkan di Eropah tetapi jarang ditemui dalam kalangan pesakit Malaysia Dr Noor Zalmy Azizan

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia