JPA, KSM kaji syor perluas dasar Bekerja Dari Rumah
Langkah susulan cadangan dikemuka Perdana Menteri
Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menjalankan satu kajian dan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhubung kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR) diteruskan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil perhatian sewajarnya cadangan berhubung perkara itu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.
“JPA mengambil perhatian sewajarnya cadangan Perdana Menteri berkenaan kemudahan BDR bagi sektor awam dengan gaji penuh untuk penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.
“Satu kajian dan perbincangan bersama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan dilaksanakan berhubung perkara ini dan hasil kajian akan dibentangkan kepada kerajaan bagi pertimbangan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan kepada BH.
Kelmarin, Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan perasmian sambutan Hari Wanita 2021 peringkat kebangsaan, dilaporkan meminta JPA dan Kementerian Sumber Manusia (KSM), untuk menilai cadangan memperluas kemudahan BDR untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh, bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak baharu lahir.
Inisiatif itu antara lain membolehkan kakitangan wanita kekal dalam sektor pekerjaan dan meningkatkan produktiviti kerja.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata kementeriannya juga sedang mengkaji sama ada BDR boleh diamalkan pasca PKP.
“Ia (BDR) akan membabitkan sesetengah sektor sahaja dan berdasarkan kepada prestasi pekerja. Kita dapati, dalam sektor tertentu, walaupun BDR, ia masih berjaya.
“Perkara ini boleh dicadangkan kepada sesetengah sektor yang kita lihat berjaya,” katanya selepas Majlis Sambutan 365 Hari Pencapaian Menteri Sumber Manusia di kementeriannya, semalam.
Saravanan berkata, kejayaan BDR juga bergantung kepada keikhlasan pekerja berikutan ada pekerja dikesan mengambil kesempatan dan culas bekerja.
Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dasar bekerja dari rumah untuk negeri dan kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih terpakai dan kehadiran pegawai ke pejabat masih kekal dengan jumlah maksimum seramai 30 peratus daripada jumlah sebenar.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kehadiran pekerja ke pejabat di negeri dan kawasan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah pada tahap maksimum, namun ia tertakluk kepada arahan ketua jabatan.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat jawatankuasa antara agensi berkaitan dan Kementerian Kesihatan (KKM) kelmarin setuju bahawa dasar kerja dari rumah di bawah industri perkhidmatan awam dan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih lagi terpakai.