Penyangak cemar Sungai Kim Kim perlu dihukum, tanggung kos
Sedih juga terbaca mengenai nasib Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang dikatakan kembali tercemar, dengan tompokan minyak berbau busuk mengalir sehingga ke hulu sungai.
Seperti dilaporkan BH, keadaan itu dikatakan dikesan penduduk sejak kira-kira sebulan lalu. Lantas, siapa nak dipersalahkan apabila ini terjadi?
Jangan buat-buat lupa bahawa lebih 6,000 penduduk sekitar Pasir Gudang terjejas, dengan sekolah juga banyak terpaksa ditutup ketika sungai ini tercemar.
Rasanya, insiden itu masih kekal berbekas dalam minda kerana menarik perhatian cukup besar, walaupun sudah dua tahun berlalu.
Namun, persoalan harus ditanya di mana silapnya hinggakan penyangak alam sekitar ini kembali berleluasa?
Tidakkah hukuman dan penguatkuasaan tegas diambil sebelum ini menyuntik kesedaran dan rasa gerun dalam diri mereka?
Dalam kes terbaru ini, tindakan segera harus diambil sebelum keadaan bertambah serius dan mendatangkan kesan lebih besar baik kepada sungai itu sendiri atau penduduk di sekitarnya.
Bukan tugas mudah untuk kembalikan Sungai Kim Kim kepada keadaan asal. Jadi, pastikan penyangak alam sekitar yang mencemari sungai ini dipertanggungjawabkan.
Rasanya kejadian dua tahun lalu sudah memberi cukup pengalaman kepada pihak berkuasa untuk bertindak.
Justeru, selain hukuman berat ke atas individu atau premis yang terbabit, pastikan mereka juga menanggung segala kos untuk pemulihan Sungai Kim Kim yang tercemar.
Sekurang-kurangnya mereka perlu disedarkan bahawa ‘kos tinggi’ wajib ditanggung untuk setiap perbuatan jenayah berkaitan alam sekitar.