Maxis ekelas perhebat kaedah pembelajaran secara maya
Pelaksanaan VR 5G jadikan platform timba ilmu lebih kreatif, efektif
Kita sudah melihat kesan hubungannya melalui Maxis ekelas dan kami percaya teknologi baharu seperti 5G berpotensi besar untuk jadi pemangkin kuat majukan pendidikan di Malaysia.
Gokhan Ogut,
Kuala Lumpur: Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ternyata membawa perubahan besar dalam sistem pendidikan negara apabila pelajar kini terpaksa belajar secara dalam talian di rumah masing-masing.
Pembelajaran secara dalam talian itu bukan sahaja dilaksanakan di sekolah rendah, namun turut dipraktikkan sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.
Teknologi berperanan besar dalam menyokong pengajaran dan pembelajaran berterusan ketika kawalan pergerakan dan kini ia telah mengubah cara dan apa yang dipelajari.
Berikutan itu, teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima atau lebih dikenali sebagai 5G mampu menawarkan kelajuan data bagi memudahkan sesi pembelajaran dalam talian berkenaan.
Menerusi 5G secara tidak langsung dapat memanfaatkan ekonomi serta memberi nilai tambah kepada taraf kehidupan masyarakat, termasuk dalam bidang pendidikan serta ekonomi negara.
Dalam bidang pendidikan, dengan kelajuan yang ditawarkan itu sudah tentu ia dapat mempengaruhi minat pelajar untuk terus belajar dengan lebih efektif serta kreatif berbanding dengan teknologi generasi terdahulu, iaitu 3G dan 4G.
Malah, teknologi 5G kini dilihat mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin kepada kemajuan pendidikan di negara ini.
Berikutan itu, konvergen penyedia penyelesaian, Maxis mengambil peluang menggunakan aplikasi realiti maya (VR) dalam meneroka pendekatan pembelajaran yang lebih berkesan untuk program komuniti utamanya, ekelas.
Maxis ekelas menyediakan platform hebat untuk pembelajaran tambahan yang memanfaatkan teknologi. Dilancarkan pada tahun 2017, inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar Tahun Enam hingga Tingkatan 5 di kawasan luar bandar ini, membawa pengayaan pembelajaran dengan cara menyeronokkan dan bersemangat.
Maxis ekelas menyediakan akses ke kandungan pendidikan yang berkualiti, sesuai dengan silibus sekolah di negara ini. Dengan fokus kepada Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, pelajar belajar melalui gabungan tutorial langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan sebagainya serta akses ke kandungan digital melalui portal ekelas.
Program Imersif Tinggi atau Highly Immersive Programme (HIP) ini telah diiktiraf oleh Kementerian
Pendidikan sebagai satu inisiatif bagi meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris, di mana pelajar layak untuk mendapat markah kokurikulum daripada penyertaan mereka dalam ekelas.
ekelas yang menggunakan teknologi 5G itu memberi lebih kefahaman kepada pelajar ketika sesi pembelajaran, interaksi antara pelajar dan guru, fasilitasi peranan guru ketika mengendalikan kelas serta menyediakan kandungan pembelajaran yang bersesuaian.
Pelaksanaan VR 5G dalam pembelajaran oleh ekelas itu diadakan di dua negeri, iaitu di Pusat Internet Kampung Padang Wahid, Langkawi dan Penang Digital Library, Pulau Pinang sebagai pusat demonstrasi.
Pelajar dapat merasai pengalaman belajar secara VR tersebut dengan beberapa topik ‘berat’, namun dengan cara yang begitu menarik.
Antara topik yang diketengahkan dalam sesi pembelajaran VR itu, termasuk pembelajaran sel hidup, asid deoksiribonukleik (DNA) serta anatomi manusia dan organ.
Pelajar yang mengikuti sesi pembelajaran VR bersama ekelas dapat merasai pengalaman meneroka bahagian sel manusia atau haiwan hanya menggunakan tangan serta dibimbing oleh guru mereka dari jarak jauh.
Pelajar dapat merasai pengalaman yang nyata serta membantu mereka dari segi pemahaman dan ingatan terhadap topik yang mereka pelajari.
“Pelaksanaan VR kami telah mendapat sambutan yang sangat positif daripada pelajar dan guru ekelas. Ia menunjukkan kemungkinan teknologi dapati dilakukan untuk pendidikan. Kami gembira dengan prospek bagaimana 5G dapat meningkatkan ekelas lebih jauh dengan meneroka aplikasi seperti itu yang boleh menjadi pengubah keadaan.
“Kami kini membawa kandungan pembelajaran digital kami melalui portal ekelas ke lebih banyak sekolah. Inklusi digital adalah penting dan Maxis percaya bahawa setiap orang harus dapat menuai keuntungan daripada teknologi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Teknologi Pengajaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts Dr Muhammad Helmi Norman menekankan bahawa gabungan antara peranti digital dan inovasi pendidikan yang sesuai mampu meningkatkan cara penggunaan kandungan pembelajaran melalui teknologi.
Katanya, guru juga dapat meneroka pendekatan baharu dan mampu menyatukan teknologi pada masa kini dengan persekitaran pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang.
“Kami sudah melihat bahawa pengajaran dan pembelajaran dapat ditransformasi. Guru dapat membangunkan kandungan pembelajaran, mencipta animasi dan menggubah muzik untuk meningkatkan penglibatan serta menjadikan pembelajaran lebih menarik.
“Segala kemungkinan tidak ada had apabila anda menggunakan teknologi serta membolehkan guru menjadi lebih inovatif.
“Oleh itu, bayangkan teknologi baharu seperti 5G ini dapat dimanfaatkan untuk keseluruhan ekosistem pelajar, guru dan ibu bapa bagi memaksimumkan keseluruhan potensi pembelajaran,” kata Helmi yang juga Apple Distinguished Educator.
Kesimpulannya, penggunaan 5G dilihat mampu mengembangkan sektor pendidikan negara khususnya dalam memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21, selain melahirkan generasi yang mampu mengharungi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
“Tidak ada keraguan bahawa 5G kemungkinan besar akan membuka dunia bagi individu, perniagaan, industri, komuniti amnya dan seluruh Malaysia.
“Kita sudah melihat kesan hubungannya melalui program Maxis ekelas kami dan kami percaya bahawa teknologi baharu seperti 5G berpotensi besar untuk menjadi pemangkin kuat untuk memajukan pendidikan di Malaysia.
“Ia amat penting bahawa kita fokus untuk mengoptimumkan sumber dan infrastruktur yang sedia ada dengan liputan meluas serta kualiti pengalaman yang konsisten. Ini akhirnya akan menjadikan kita prima bagi penggunaan 5G,” tambah Ogut.
Maxis sudah lama memulakan perjalanan 5G dan komited untuk memberikan inovasi jalur lebar berkenaan dalam meningkat perniagaan mereka.
Malah, era baharu teknologi itu akan membawa inovasi baharu pendidikan kepada dunia.