Pelancongan antara negeri PKPP dibenar mula hari ini
Pelawat perlu guna khidmat agensi berdaftar dengan MOTAC
Kuala Lumpur: Kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan rentas negeri antara negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, mulai hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun aktiviti itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Beliau berkata, pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal kelmarin, kerajaan mendengar cadangan MOTAC mengenai Gelembung Pelancongan Bersasar bagi membantu memulihkan kembali ekonomi pelancongan.
“Selepas mengambil kira penilaian risiko dan data daripada agensi berkaitan serta nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), maka kerajaan bersetuju membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP lain.
“Mereka perlu menggunakan perkhidmatan syarikat berdaftar dan pergerakan menggunakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan.
“Pergerakan hanya menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC dan syarikat agensi pelancongan perlu mendapatkan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pergerakan rentas negeri.
“Perjalanan mesti terus ke negeri PKPP dan tidak dibenarkan berhenti di mana-mana negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala tempat penginapan sudah ditetapkan dan aktiviti pelancongan juga perlu ditetapkan lebih awal,” katanya pada sidang media semalam.
Setakat ini tujuh negeri, iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini.
Sementara itu, kerajaan juga bersetuju menukar status Pulau Langkawi sebagai zon PKPP mulai esok walaupun Kedah masih di bawah PKPB.
Tiada pertambahan kes COVID-19
di kawasan itu dan ia sudah bertukar kepada Zon Hijau.
“Kes COVID-19 terakhir dilaporkan pada 20 Februari lalu dengan dua kes.
“Maka, Gelembung Pelancongan Bersasar juga terpakai untuk Pulau Langkawi,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, dasar bekerja dari rumah untuk negeri dan kawasan yang dilaksanakan PKPB dengan kehadiran 30 peratus kakitangan ke pejabat masih terpakai.
Bagaimanapun, jumlah kehadiran ke pejabat di negeri dan kawasan yang dilaksanakan PKPP adalah pada tahap maksimum, tertakluk arahan ketua jabatan.
Beliau turut mengumumkan penamatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kampung Acheh, Manjung, Perak, hari ini.