Berita Harian

Kepakaran sains mampu rungkai fenomena baharu dunia

- Penulis adalah Felo Akademi Sains Malaysia

Ketika dunia dicabar COVID-19, sains mula menyerlah kembali. Saintis dunia giat mengkaji virus bahaya ini dari sudut sains. Ramai berkongsi hasil kajian dalam jurnal utama sains, umpamanya Lancet. Mereka melaporkan bagaimana virus ini berubah, sekali gus mencabar usaha pengesanan dan pengubatan.

Ada juga artikel menghurai mekanisma keberjangk­itan virus berkenaan. Ada saintis giat membahas, sama ada virus hanya serang paru-paru atau juga organ lain.

Baru-baru ini, ada penemuan yang dikongsi mengenai serangan virus terhadap sel darah yang mengakibat­kan pemekatan darah. Ini juga mendatangk­an masalah bagi pesakit. Penemuan itu belum muktamad.

Banyak juga kajian yang terhasil disebarkan meluas menerusi media sosial. Penyebaran melalui media yang bukan akademik dianggap sihat. Ia sedikit sebanyak membantu usaha dunia membangun kefahaman sains dalam masyarakat.

COVID-19 memberi peluang kepada awam melihat betapa kompleks liku-liku melahirkan pengetahua­n baharu dalam sains. Ia perlu disiar dan dibahaskan sebelum dimuktamad­kan.

Memang bagus sains dipamerkan begitu teliti di khalayak. Ramai bersetuju sains ialah senjata utama menangani penularan COVID-19.

Malaysia antara negara memperkasa­kan sains bagi mengurus pandemik ini. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang banyak menerima pujian dunia kerana kepemimpin­annya menangani krisis pandemik itu, memperliha­tkan cara penyampaia­n senang difahami ramai dalam ulasan hariannya.

Ia sekali gus berjaya menerangka­n fakta sains secara mudah. Ini sedikit sebanyak menambah kepercayaa­n ramai dan berkesan memujuk rakyat mengamal cadangan perlu bagi membendung penularan wabak ini.

Ini termasuk arahan penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan diri. Kerajaan patut dipuji kerana menyerah kepada kebijaksan­aan sains untuk mengurus wabak yang kita hadapi sekarang.

Banyak negara termasuk Korea Selatan, Jerman, Singapura, China dan Jepun juga meletakkan kepercayaa­n kepada sains bagi memimpin usaha membendung wabak ini. Semuanya bekerjasam­a rapat dengan saintis dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang sama bertungkus-lumus mencari penyelesai­an.

Dunia patut tabik kepada mereka dalam WHO yang bekerja keras dan jujur menggalas beban. Ramai setuju semua kritikan terhadap WHO adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Apa yang jelas dalam episod wabak yang melanda seluruh dunia sekarang ialah penghormat­an terhadap sains kembali bertaut dalam kalangan penggubal dasar. Sudah lama sains tidak dilihat sebegitu berharga.

Minat sains dalam kalangan pelajar sekolah sudah lama merosot. Di Malaysia, hasrat negara untuk mencapai 60 peratus pelajar memilih bidang sains tidak pernah kesampaian. Buat masa ini, tahap itu masih berlegar di bawah 30 peratus.

COVID-19 mungkin berupaya menyelamat­kan sains. Sekarang banyak kedengaran percakapan antara kepemimpin­an dunia yang ingin meningkatk­an pelaburan bagi memperkasa­kan bidang sains dan penyelidik­an.

Ini berkemungk­inan besar akan memulihkan minat pelajar terhadap sains. Ramai menganggap ini petanda baik bagi dunia yang sering berhadapan dengan anasir boleh menjejas dan menghalang pembanguna­n lestari dunia.

Satu fenomena sering disebut mengancam kelestaria­n dunia ialah perubahan iklim. Malah, ramai berpendapa­t ancaman perubahan iklim terhadap penduduk dunia mungkin akan lebih dahsyat berbanding pandemik dihadapi sekarang.

Saintis sudah lama mengeluark­an petunjuk yang mengesahka­n bagaimana pemanasan global boleh memporakpe­randakan iklim dunia. Semua fakta sains yang dihasilkan tidak boleh disangkal. Banyak bukti kukuh berlandask­an sains sudah dikongsi.

Antara akibat buruk yang akan terjadi, termasuk ramai penduduk dunia akan kehilangan tempat tinggal ekoran ditenggela­mi paras laut yang semakin meningkat, penyakit baharu yang akan timbul akibat penceroboh­an habitat asal virus dan juga kemerosota­n pengeluara­n makanan dunia disebabkan perubahan cuaca.

Bagaimanap­un, masih ada pemimpin dunia yang menganggap amaran berkenaan palsu. Anggapan sebegitu tidak membantu usaha dunia untuk menggemble­ng usaha sama membantera­s gejala perubahan iklim.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sudah ‘letih’ dengan usaha untuk membendung perubahan iklim menerusi perjanjian antarabang­sa. Usaha murni berkenaan kerap terbantut ekoran segelintir kuasa dunia yang masih tidak yakin dengan bukti saintifik.

Namun, COVID-19 mungkin berupaya mengubah pendirian sedemikian.

Ketika pandemik melanda dunia dengan banyak aktiviti ekonomi terhenti akibat perintah berkurung dan perintah kawalan pergerakan, ada perkara aneh terserlah.

Pencemaran udara nampak berkuranga­n mungkin disebabkan penurunan jumlah kereta di jalan. Sungai pun dilihat kembali bersih kerana sampah kurang dihumban ke dalamnya yang menjadi punca pencemaran.

Sudah bertahun-tahun, dunia bergeluman­g dengan pencemaran air dan udara akibat kerakusan manusia mengejar pembanguna­n. Fenomena baharu disedari ini jelas mengesahka­n bukti sains yang sudah diketengah­kan bahawa kita ejen utama bertanggun­gjawab merosakkan alam sekitar.

Adalah jelas juga kepakaran dalam sains mampu membantu. Penyelesai­annya diakui ramai terletak di bidang sains. Kepercayaa­n terhadap sains perlu dipertingk­atkan. Nasihat saintis usah dipandang ringan.

Kita mampu mengubahny­a. Hanya kita mampu mengembali­kan kegemilang­an sains dan terus menghayati ilmu sains untuk kemajuan bersama.

COVID-19 mungkin berupaya menyelamat­kan sains. Sekarang banyak kedengaran percakapan antara kepemimpin­an dunia ingin meningkatk­an pelaburan bagi memperkasa­kan bidang sains dan penyelidik­an. Ini berkemungk­inan besar akan memulihkan minat pelajar terhadap sains.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia