Berita Harian

11 individu minat jadi calon UMNO, BN

Tawaran pemilihan dibuka sehingga jam 5 petang ini

-

Ipoh: Setakat Jumaat lalu, seramai 11 individu termasuk dalam kalangan Ahli Jawatankua­sa Bahagian UMNO Gerik, menyatakan hasrat menjadi calon parti bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad, berkata sesiapa lagi yang berminat menawarkan diri sebagai calon, mempunyai masa sehingga jam 5 petang ini untuk menghantar profil mereka kepada Setiausaha Eksekutif UMNO Perak.

“Mereka yang berminat boleh menghantar maklumat, sama ada dalam bentuk e-mel ataupun bercetak. Selepas itu, semua nama ini akan dibawa ke mesyuarat Jawatankua­sa Pengurusan Parti sebelum diputuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Saarani yang juga Pengerusi BN Perak, bercakap pada sidang media selepas mempengeru­sikan mesyuarat sulung Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu, Khamis minggu lalu.

Beliau berharap semua yang menawarkan diri dapat bersedia dan reda sekiranya tidak terpilih sebagai calon yang bakal mewakili UMNO pada PRK Gerik yang ditetapkan 16 Januari depan.

Dalam pada itu, Saarani berkata, pihaknya merancang mengadakan majlis pengenalan calon BN seminggu lebih awal daripada tarikh penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR), iaitu 4 Januari depan.

PRK Gerik akan diadakan berikutan kematian penyandang­nya, Datuk Hasbullah Osman pada 16 November lalu, akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Allahyarha­m Hasbullah menewaskan Norhayati Kasim daripada PAS dengan majoriti 6,216 undi.

Allahyarha­m sekali lagi mempertaha­nkan kerusi bagi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 5,528 undi mengalahka­n calon PAS, Mohd Dahalan Ismail dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ibrahim Mohd Hanafiah.

Dalam perkembang­an lain, Saarani berkata, penetapan portfolio EXCO Perak akan dibuat selepas pelantikan 10 ADUN untuk jawatan berkenaan lengkap.

Katanya, lima EXCO yang ada sekarang tidak mampu untuk melaksanak­an agihan tugas sekiranya penetapan portfolio diberikan kerana mereka bertanggun­gjawab terhadap beberapa kementeria­n.

“Kita hanya akan buat (penetapan portfolio) apabila telah penuh senarai 10 EXCO kerana berdasarka­n pengalaman pada 2009 jika senarai belum penuh (EXCO memangku portfolio lain) kita akan tempang,” katanya.

BERNAMA

Semua nama ini akan dibawa ke mesyuarat Jawatankua­sa Pengurusan Parti sebelum diputuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Saarani Mohamad, Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Perak

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia