My JET berkembang ke China tahun depan
My Jet Xpress Airlines berhasrat untuk mengembangkan perkhidmatan kargonya ke beberapa wilayah di China seperti Shenzhen pada suku pertama tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Hisham Abdul Wahab, berkata adalah tepat pada masanya bagi syarikat penerbangan itu menceburi pasaran China memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan kargo dilihat sangat menggalakkan di tengah pandemik COVID-19.
Selain itu, syarikat penerbangan kargo itu akan menambah kekerapan dengan pesawat baharunya, 9M-NEW yang mula beroperasi pada malam Sabtu lalu.
“Mulai minggu depan (ini) dan seterusnya, kami juga akan menambah kekerapan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak untuk operasi ekspres, di samping mengendalikan perkhidmatan biasa ke Singapura, Indonesia serta Vietnam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penghargaan kepada Petugas Barisan Hadapan dan Perasmian Penerbangan (9M-NEW), kelmarin.
Menurut Azrul Hisham lagi, pesawat baharu keempat itu dirancang memulakan operasi pada suku kedua 2021, namun dipercepatkan ke tahun ini berikutan permintaan pasaran yang amat menggalakkan.
“Kami akan menambah satu lagi kekerapan pada jam 5 petang dan 6 petang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching, masing-masing kepada seawal jam 11 pagi setiap hari ke kedua-dua tempat,” katanya.
Beliau berkata, My JET juga bercadang untuk meneroka segmen lain dalam industri penerbangan iaitu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih. “Kami juga sedang meneliti projek pengangkutan vaksin memandangkan kami mempunyai infrastruktur mencukupi serta peralatan yang relevan bagi operasi seperti itu, tetapi terlalu awal untuk meramalkan kerana kita belum mendapat vaksin di Malaysia,” katanya.