MEDAC sasar bantu 25,000 peniaga beralih ke digital
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasar untuk membantu 25,000 perniagaan kecil beralih ke digital dalam tempoh satu hingga dua tahun.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kementerian yakin mencapai sasaran itu yang dilihat sebagai langkah amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan kecil pasca COVID-19.
Katanya, ia sebahagian besar disokong kesan pengganda dijangkakan oleh kementeriannya menerusi pelbagai program yang dijalankan agensi di bawah MEDAC.
“Program terbaru merangkumi kerjasama antara perkhidmatan penghantaran SME Corp dan Warong Riders melalui Program Penyambung Mikro SME Corp.
“MEDAC menyasarkan untuk mempunyai kira-kira 5,000 penghantar menyertai program Warong Riders seluruh negara yang akan ditubuhkan di semua kawasan Parlimen.
“Program ini bukan hanya bertujuan memberi peluang pekerjaan. Penghantar ini juga akan berfungsi sebagai pembimbing rakan setara yang akan menolong memberi kesedaran dan membantu proses dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, beliau percaya adalah tidak mustahil untuk seorang penghantar mempunyai potensi terbabit dengan lima perniagaan kecil.
“Ini sekali gus boleh membantu dari segi memberi penjelasan kepada perniagaan dan bagaimana untuk beralih serta menyesuaikan diri ke arah digitalisasi.
“Daripada situ, agensi kami yang lain seperti Institut Keusahawanan Nasional (INSKEN) dapat membantu dengan memberi kesedaran dan peningkatan kemahiran yang diperlukan melalui latihan serta bimbingan,” katanya.
Wan Junaidi berkata, beliau menyedari usaha untuk mengubah perniagaan kecil daripada tradisional ke digital adalah tugas mencabar yang memerlukan bantuan menyeluruh serta bimbingan.
Katanya, apabila diperkatakan mengenai digitalisasi, terutama kepada kelompok B40, ramai yang tidak mengetahui atau mempunyai idea walaupun sedikit mengenainya.
“Mereka tidak dapat membayangkan bagaimana perniagaan dalam talian. Malah, ada juga rakan karib saya yang masih tidak faham e-dagang.
“Justeru, dengan sekadar memberikan geran tidak memadai, sebaliknya akan membazirkan wang kerana pada akhirnya mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan.
“Apa yang mereka perlukan ialah pendekatan lebih holistik seperti latihan, alat serta pendekatan pemasaran yang tepat untuk berjaya memindahkan perniagaan secara dalam talian,” katanya.