Berita Harian

Kedai makan, runcit, serbaneka, stesen minyak di kawasan PKPB dibenar buka sehingga 12 tengah malam, sekolah memandu boleh beroperasi mulai hari ini

-

Kuala Lumpur: Semua kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka dan stesen minyak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan beroperasi hingga jam 12 tengah malam, bermula hari ini.

Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia susulan rungutan diterima daripada peniaga, persatuan peniaga dan orang ramai.

Beliau berkata, keputusan dicapai dalam mesyuarat, semalam, membenarka­n waktu operasi perniagaan berkenaan yang ditetapkan hingga 10 malam sebelum ini, dilanjutka­n kepada 12 tengah malam.

Mengenai institut latihan memandu di seluruh negara, Ismail Sabri berkata, ia boleh beroperasi semasa PKPB namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan sudah bersetuju membenarka­n aktiviti di semua institusi latihan memandu.

Perkara itu, katanya, sepatutnya dimaklumka­n Kementeria­n Pengangkut­an kepada semua pemilik dan pengusaha sekolah memandu termasuk mematuhi SOP ketat bagi menghalang penularan COVID-19.

“Segala butiran dan syarat berkenaan boleh diperoleh daripada kementeria­n berkenaan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Dalam perkembang­an lain, Ismail Sabri turut mengulangi kenyataann­ya berhubung SOP isu mengisi buku dan imbasan kod bar aplikasi My Sejahtera.

“Orang ramai tidak perlu menulis buku disediakan di premis sekiranya mereka sudah melakukan imbasan pada aplikasi My Sejahtera.

“Begitu juga sebaliknya, mereka harus mengisi buku disediakan sekiranya tidak melakukan proses imbasan,” katanya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD), Ismail Sabri berkata, ia akan dilaksanak­an di Penjara Seremban dan kuarters penjara itu bermula hari ini hingga 7 Disember depan.

Beliau berkata, Kementeria­n Kesihatan (KKM) sudah melaksanak­an 246 ujian saringan bersasar dengan 25 kes positif COVID-19 direkodkan.

“Berdasarka­n penilaian risiko dan atas nasihat KKM, sidang khas hari ini (semalam) bersetuju melaksanak­an PKPD di Penjara Seremban serta Kuarters Penjara Seremban.

“Pelaksanaa­n PKPD meliputi keseluruha­n kawasan Penjara Seremban, termasuk blok penjara, bangunan pentadbira­n serta kuarters pegawai dan kakitangan membabitka­n 2,080 orang,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan menamatkan PKPD di Taman Mesra, Sandakan dan Plaza Hentian Kajang, hari ini.

 ??  ?? Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia