Fredo sorok derita
Hadapi masalah penglihatan, jalani pembedahan awal tahun
Hampir tiga tahun penyanyi bersuara serak basah, Fredo bergantung kepada mata sebelah kanan untuk penglihatan.
Biarpun menghadapi kesukaran hanya mempunyai sebelah mata, namun demi mencari sesuap nasi, bekas vokalis kumpulan Flybaits itu menggagahkan diri memandu kereta jika perlu memenuhi undangan nyanyian.
Bagaimanapun, dengan ehsan seorang hamba Allah berhati mulia, Fredo yang kini berusia 70 tahun kembali dapat melihat dengan menggunakan keduadua mata selepas menjalani pembedahan, Januari lalu.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta itu berkata, tidak ramai tahu penderitaan yang ditanggung kerana tidak suka menghebohkan mengenai kesakitannya.
“Alhamdulillah, seorang pemilik restoran di Ampang, Naan Corner berbesar hati menaja rawatan pembedahan mata. Kini, saya sudah kembali boleh melihat seperti biasa.
“Sememangnya tidak ramai tahu masalah mata yang dihadapi. Biasalah bergelar artis, jika boleh saya mahu orang lihat saya sentiasa sihat dan sempurna. Saya tak selesa berkongsi kesakitan dihadapi, jadi sebab itulah tiada orang tahu masalah penglihatan yang dihadapi.
“Ketika muncul dalam program realiti, Gegar Vaganza sebagai tetamu undangan, penglihatan saya terganggu, tetapi orang tidak perasan kerana saya sengaja tidak hebohkan,” katanya kepada HIP.
Fredo berkata, setakat ini, dia tidak mempunyai masalah kesihatan lain kerana sangat menjaga kesihatan dengan mengamalkan berjalan kaki setiap hari.
Penyanyi berketurunan Filipina memeluk Islam pada 1996 dengan nama Mohd Amani Abdullah itu berkata, selain berjalan kaki, dia juga tidak merokok, minum minuman keras dan ais.
Katanya, itu yang menjadi rahsia kesihatannya, malah membolehkan terus mencari rezeki menggunakan suara ‘emas’ itu.
Biarpun usia semakin meningkat, Fredo berkata, dia bersyukur rezeki dalam dunia nyanyian tidak pernah putus hingga kini.
Penyanyi yang mendirikan rumah tangga dengan anak bintang legenda, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, Suzlynna Mustapha Azahari menggunakan bakat kurniaan Tuhan untuk menampung kehidupan sekeluarga termasuk anak tunggalnya, Danny Villenguez, 17.
“Setakat ini, undangan nyanyian tak pernah putus, malah saya tidak berkira soal bayaran dan menerimanya. Mungkin disebabkan itu, ramai yang senang bekerjasama dengan saya.
“Sepanjang tempoh Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) juga tawaran nyanyian masih ada meskipun secara dalam talian.
“Saya akui, awalnya agak sukar menyesuaikan diri dengan normal baharu ini. Selepas dua tiga kali menyanyi secara dalam talian, saya sudah dapat menyesuaikan diri, malah saya sudah membeli beberapa peralatan tambahan supaya dapat menghasilkan rakaman video lebih baik,” katanya.
Fredo berkata, dia perlu membiasakan diri dengan normal baharu untuk kekal relevan dalam industri muzik.
“Selain itu, kesihatan amat penting dan perlu dijaga. Penyanyi sekarang tidak dapat menjaga kualiti vokal kerana kebanyakannya mengamalkan cara hidup tidak sihat.
“Tidur mencukupi juga sangat penting, jangan disebabkan sibuk berkarya hingga mengabaikan waktu tidur,“katanya.
Selain berkebolehan menyanyi, Fredo berkata, dia juga mampu bermain pelbagai jenis alat muzik. Justeru, andai tiada sebarang tawaran nyanyian, dirinya tidak risau kerana boleh mencari rezeki sebagai penyanyi jalanan.
Namun, katanya, dia tidak selesa mencari rezeki dengan cara demikian, tetapi tidak kisah sekiranya terdesak atau perlu dilakukan demi kebajikan orang lain.
“Saya tak akan ‘busking’ untuk kepentingan diri sendiri, tetapi jika perlu membantu orang lain, saya akan buat juga. Jika nampak penyanyi jalanan, ada masanya saya minta kebenaran menyumbangkan lagu.
“Saya seronok melihat reaksi orang ramai yang lalu lalang, ada antaranya terkejut melihat saya menyanyi dan menyumbang duit. Biasanya, saya tak akan mengambil wang, sebaliknya saya berikan kepada penyanyi jalanan berkenaan,” katanya.