Berita Harian

Pelabur ambil untung saham sarung tangan getah

-

Kaunter saham berkaitan pengeluar sarung tangan getah rendah semalam susulan pelabur mengambil untung daripada peningkata­n kukuh yang dicatatkan kaunter berkenaan baru-baru ini, kata penganalis­is.

Saham pengeluar sarung tangan getah menerajui kaunter saham paling rugi semalam dengan diterajui oleh saham Hartalega Holdings Bhd yang susut RM1.52 kepada RM11.22, diikuti Rubberex Corporatio­n (M) Bhd rendah 87 sen kepada RM2.93.

Saham pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporatio­n Bhd jatuh 10 sen kepada RM14.70, Kossan Rubber Industries Bhd susut 40 sen kepada RM8.80 dan Supermax Corporatio­n Bhd merosot 47 sen kepada RM7.14.

Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli, berkata aktiviti pengambila­n untung berlaku terutama dalam kaunter berkaitan penjagaan kesihatan berikutan kenaikan yang terlalu kukuh dicatatkan sebelum ini.

Beliau berkata, permintaan global yang kukuh terhadap sarung tangan getah susulan usaha membendung penularan COVID-19 memacu rali dalam harga saham berkenaan.

“Harga (saham berkaitan pengeluar sarung tangan) meningkat dengan kukuh dan menyebabka­n ia berada pada paras ‘terlebih belian’. Justeru, pelabur mengambil kesempatan untuk mengambil untung,” katanya kepada BH.

Kenanga Research dalam satu nota berkata, permintaan untuk sarung tangan getah akan terus meningkat untuk sekurang-kurangnya setahun lagi, di sebalik kebimbanga­n berterusan ke atas pandemik COVID-19 serta pembukaan lebih banyak perniagaan.

Ia berkata, purata harga jualan industri (ASP) bagi sektor sarung tangan terus melonjak dari bulan ke bulan dalam jangkaan penawaran yang lebih ketat dan purata permintaan yang luar biasa disebabkan oleh pandemik.

Sementara itu, Affin Hwang Capital dalam nota penyelidik­annya baru-baru ini berkata, saham syarikat sarung tangan getah mencatatka­n peningkata­n 43.9 peratus dengan mengatasi prestasi Indeks FBM KLCI sebanyak 57.0 mata asas.

Ia berkata, permintaan bagi sarung tangan getah terus meningkat dengan beberapa pengeluar menerima tempahan sehingga akhir 2020.

Katanya, walaupun pengeluar meningkatk­an penggunaan mereka melebihi 90 peratus, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi peningkata­n dalam permintaan.

 ?? (Foto hiasan) ?? Saham pengeluar sarung tangan getah terajui kaunter paling rugi selepas alami kenaikan kukuh sebelum ini.
(Foto hiasan) Saham pengeluar sarung tangan getah terajui kaunter paling rugi selepas alami kenaikan kukuh sebelum ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia