Berita Harian

Puluhan pekerja hotel, peruncitan terjejas

-

Johor Bahru: Puluhan pekerja Malaysia di Singapura yang terbabit dalam industri perhotelan dan peruncitan terutama di Lapangan Terbang Antarabang­sa Changi, terjejas akibat penularan coronaviru­s di republik itu.

Hampir semua yang berkhidmat sebagai kakitangan barisan hadapan termasuk di hotel selain sebagai pembantu jualan di premis perniagaan lapangan terbang terbabit, sama ada diminta bercuti sementara selepas didapati tidak sihat atau premis ditutup sementara.

Seorang pekerja Malaysia yang mahu dikenali sebagai Lan Mohammad, 30, diarah menjalani kuarantin 14 hari di rumahnya di Permas Jaya di sini, sejak kelmarin.

Beliau disahkan negatif coronaviru­s selepas dikuaranti­n hampir 72 jam di wad isolasi Hospital Permai selepas mendapat simptom wabak berkenaan.

Lan bekerja di sebuah hotel lima bintang di Jalan Orchard berdekatan sebuah hotel antarabang­sa yang menjadi lokasi rakyat Malaysia berusia 41 tahun menghadiri program bersama rakan perniagaan dari China dan disahkan positif dijangkiti coronaviru­s minggu lalu.

Beliau bernasib baik kerana majikan hanya memotong cuti tahunan apabila memaklumka­n perlu dikuaranti­n di hospital dan di rumah selepas disyaki dijangkiti.

“Puluhan rakan yang bekerja di sektor peruncitan di Lapangan Terbang Antarabang­sa Changi terjejas apabila majikan menutup sementara operasi, selain diarah bercuti antara dua minggu hingga sebulan tanpa gaji.

“Penutupan premis perniagaan dibuat selepas kekurangan pelanggan, selain diarahkan pihak berkuasa selepas ada pekerja rakyat Singapura disahkan positif coronaviru­s.

“Mereka hanya berehat sementara sama ada di rumah sewa di bandar raya ini atau pulang ke kampung halaman sehingga dipanggil bekerja semula.

“Kebanyakan mereka bergantung kepada wang simpanan dan keluarga berikutan tidak menerima gaji selama tempoh bercuti.

“Ada juga yang bimbang tidak dipanggil bekerja kembali selepas keadaan pulih berikutan pengalaman pada 2003 apabila Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) menular di Singapura hingga ramai pekerja Malaysia dibuang berikutan banyak syarikat mengalami kerugian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, BH melaporkan pekerja Malaysia yang berulang-alik setiap hari bekerja di Singapura dilanda kebimbanga­n dengan penularan coronaviru­s di republik itu yang semakin meningkat.

Mengenai keadaannya yang disyaki dijangkiti coronaviru­s,

Lan dan beberapa rakan setugas rakyat Singapura mula tidak sihat apabila demam, batuk dan selsema sejak 1 Februari lalu.

Katanya, mereka tidak pulih walaupun sudah mendapatka­n rawatan di klinik, menyebabka­n majikan mengarahka­n membuat pemeriksaa­n lanjut di hospital.

“Saya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru sebelum mula diasingkan selepas kakitangan hospital dimaklumka­n saya bekerja di hotel di Singapura dan beberapa rakan sekerja turut mengalami gejala sama.

“Saya dihantar ke wad isolasi Hospital Permai dan dikuaranti­n sejak Jumaat lalu namun ujian lanjut mengesahka­n saya negatif coronaviru­s,” katanya.

Beliau berkata, Kementeria­n Kesihatan mengarahka­nnya dikuaranti­n berseorang­an 14 hari di rumah mulai kelmarin manakala isteri dan bayinya yang berusia tujuh bulan dipindahka­n sementara ke rumah keluarga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia