Aishah mahu kongsi rezeki dengan ibu
Sejak kecil lagi, pelakon Suri Katriana, Aishah Azman, 24, sudah kenal erti susah.
Ramai tidak tahu Aishah yang juga anak bongsu daripada empat beradik menceburi dunia lakonan bukan untuk dijadikan bahan ketawa, sebaliknya mencari rezeki untuk keluarga.
Sebelum ini, namanya diperkatakan berikutan kontroversi bersama bekas tunang hingga menenggelamkan perkembangan kerjaya seni. Adik kepada pelakon Afiq Muiz itu enggan berkongsi kisah peribadi, apatah lagi ekoran kontroversi itu mendakwa keluarganya bermasalah.
Seboleh-boleh mahu menjaga nama baik keluarga, Aishah atau nama sebenarnya, Nor Aishah Afika Azman Shah berkata, dia percaya setiap manusia melalui dugaan yang berbeza-beza dalam kehidupan.
“Saya diuji dengan kesempitan hidup, jauh lebih teruk daripada kontroversi sebelum ini. Keluarga saya tidak berkemampuan seperti orang lain.
“Saya pernah lalui tiada duit, sampai tahap tak mampu membeli buah jambu di tepi jalan. Ketika itu, saya bersekolah dan tiada duit walau satu sen dalam poket,” katanya.
Katanya, di kala budak-budak sekolah lain berbekalkan duit belanja sebanyak RM10, dia hanya menerima sebanyak RM1 sehingga RM2.
“Apabila merenung semula pengalaman ini, saya bangkit dan mahu ubah nasib keluarga. Sekarang, saya berkongsi kesenangan dengan ibu. Saya tak mahu menyusahkannya mencari rezeki untuk saya lagi,” katanya.
Gadis kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu berkata, niat utama menceburi dunia lakonan untuk mencari duit, berkongsi dengan ibunya.
“Saya nak beli apa saja yang ibu suka. Saya mahu membantu meringankan bebanan menanggung saya dan adik beradik lain sejak kecil.
“Ibu berstatus janda membesarkan kami empat beradik dengan penuh dugaan,” katanya.