TPM raikan mualaf sambut Tahun Baharu Cina
Kuala Lumpur: Meskipun sudah memeluk Islam, lebih 300 mualaf membabitkan masyarakat Tionghua tetap diraikan secara meriah melalui sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).
Kehadiran mereka membuktikan bahawa adat sesuatu bangsa yang tidak bercanggah dengan syariat, bukan sahaja diterima dalam Islam, malah boleh disambut, selain menangkis tanggapan yang salah bahawa memeluk agama Islam itu sebagai ‘masuk’ Melayu.
Lebih istimewa, sambutan diadakan secara tahunan bertujuan memperkenalkan konsep keindahan masyarakat hidup berbilang bangsa dan agama dalam persekitaran harmoni ini, turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan dan ahli keluarga bukan Islam.
Bukan sekadar itu, program ini tambah menarik apabila kanak-kanak seawal usia empat tahun yang lengkap bertudung turut mengambil bahagian dalam persembahan pertunjukan fesyen pada sambutan berkenaan.
Selain itu, persembahan lain yang turut diadakan ialah tarian singa, kebudayaan, acara yee sang dan pemberian ‘angpau’ kepada kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam ucapannya menghargai usaha menjayakan sambutan seperti ini kerana ia dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya khususnya dalam aspek perpaduan.
Beliau berkata, Tahun Baharu Cina adalah sambutan kebudayaan dan dengan itu bukan sahaja masyarakat Tionghua tidak kira agama apa mereka anuti boleh meraikan perayaan ini, namun rakyat Malaysia lain juga turut sama memeriahkannya dalam semangat keharmonian dan perpaduan antara kaum.
“Perpaduan antara sumber kekuatan yang membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam masyarakat,” katanya selepas merasmikan program itu, di sini.