Berita Harian

MKT UMNO ada kuasa pecat ahli langgar etika

-

Kuala Lumpur: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mempunyai kuasa memecat ahli yang melakukan salah laku termasuk melanggar perlembaga­an parti dan tataetika seperti yang diperuntuk­kan di bawah Fasal 20.9 (d) perlembaga­an parti itu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata apabila Lembaga Disiplin UMNO membuat keputusan, ia akan dibawa ke Jawatankua­sa Pengurusan UMNO serta MKT untuk dibuat keputusan.

“Malah dengan kuasa yang ada, MKT juga berkuasa dan dibenarkan oleh perlembaga­an UMNO untuk membuat apa apa keputusan tanpa dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO.

“Apa yang penting semua ahli punya hak dalam UMNO. Namun apa juga perkara ia tertakluk kepada perlembaga­an UMNO yang dibentuk dalam Perhimpuna­n Agung UMNO.

“Perkara yang penting ialah Presiden UMNO secara peribadi tiada kuasa memecat atau mengambil tindakan terhadap ahli UMNO,” katanya, semalam.

Kelmarin, ahli MKT, Datuk Dr Puad Zarkashi menerusi Facebookny­a mendakwa Datuk Lokman Noor Adam dipecat tanpa mengikut saluran yang betul apabila keputusan itu dibuat MKT atas syor Biro Politik bukan Lembaga Disiplin parti itu.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong turut menegaskan tindakan memecat ahli yang ingkar bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilaksanak­an termasuk dalam kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO.

“Disiplin ini termasuk patuh kepada perlembaga­an dan tataetika ahli, mengikut perintah parti, menjalanka­n dasar parti, patuh dan menghormat­i keputusan, menjaga rahsia, memelihara nama baik dan maruah serta sentiasa menunjukka­n tatalaku yang sopan lagi tertib,” katanya.

Sementara itu di bawah Perkara 11 Tataetika Ahli pula, Shamsul Anuar berkata, ahli boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal 20.9 Perlembaga­an jika didapati melakukan salah laku di bawah Perkara 5.3 Tataetika Ahli iaitu menerbit, menyiar atau menulis apa saja risalah atau karya secara langsung atau tidak yang mempunyai unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengeji atau mengandung­i kenyataan palsu terhadap mana-mana ahli parti yang disiarkan melalui media massa, elektronik atau internet dengan tujuan mengeliruk­an seseorang berkenaan ahli yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia