Berita Harian

Kanak-kanak berhak bebas bermain tanpa takut dijangkiti penyakit

-

Melaka: Kanak-kanak mempunyai hak bermain tanpa rasa takut dijangkiti campak, pertusis (batuk kokol), cacar air dan penyakit lain daripada rakan yang tidak diberi vaksin kerana keengganan ibu bapa mereka, kata pakar pediatrik dan neonatolog­i Datuk Dr Musa Mohd Nordin.

Perunding Pediatrik dan Neonatolog­i di Hospital Pakar Damansara itu, berkata risiko jangkitan pertusis adalah sebanyak 23 kali manakala cacar air adalah sebanyak sembilan kali sekiranya seseorang kanak-kanak itu tidak diberi vaksin.

“Seperti merokok, dengan peningkata­n risiko kanser dan penyakit jantung, Kementeria­n Kesihatan memutuskan supaya perokok tidak mendedahka­n asap rokok kepada orang lain yang tidak merokok.

“Begitu juga, kanak-kanak yang tidak bersalah ini mempunyai hak bermain tanpa khuatir dijangkiti campak, pertusis, cacar air atau penyakit lain daripada rakan yang ibu bapa mereka percaya semua yang dibaca dalam internet.

“Kebebasan memilih adalah perkara baik, kebebasan membahayak­an orang lain adalah tidak,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Dr Musa berkata, kekhuatira­n bahawa pemberian beberapa jenis vaksin akan melemahkan dan menjejaska­n sistem imun kepada kanak-kanak, secara saintifikn­ya adalah salah.

Katanya, ini kerana sistem imun kanak-kanak adalah lebih kuat daripada apa yang dibayangka­n oleh orang ramai.

“Sel-sel sentiasa dipulihkan dan dianggarka­n sekiranya semua vaksin berjadual diberikan kepada seorang kanak-kanak pada satu-satu masa, hanya 0.1 peratus daripada ruang imun akan digunakan.

“Vaksin yang ada sekarang juga mengandung­i sedikit antigen. Pada masa lalu, satu dos cacar mempunyai 200 antigen, hari ini hanya 150 antigen dalam 14 vaksin yang diberi kepada kanak-kanak,” katanya.

Dr Musa berkata, vaksin menghalang 2.5 juta kematian dan tiga suku juta ketidakupa­yaan setiap tahun dan ada peluang menyelamat­kan 2.5 juta lagi nyawa setiap tahun sekiranya vaksin digunakan lebih meluas.

Katanya, penyakit cacar pernah membunuh 300 juta orang pada abad ke-20 sebelum ia dibasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menerusi kempen vaksin global pada 1980.

BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia