Berita Harian

Pemandu forklift terselamat walaupun terkena dua das tembakan

Dua das tembakan mengenai lengan, perut mangsa

- Oleh Nur Izzati Mohamad bhnews@bh.com.my

Bukit Mertajam: Pemandu forklift cedera di perut akibat terkena tembakan suspek tidak dikenali di hadapan sebuah pangsapuri dekat Taman Inderawasi­h, Perai, di sini, semalam.

Ketika kejadian jam 2.08 pagi, mangsa berusia 26 tahun sedang berbual bersama empat rakannya di kawasan perumahan terbabit, sebelum sebuah kereta Proton Waja dilihat berlegar-legar di situ hingga mengundang rasa curiga mangsa dan rakannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata seorang daripada rakan mangsa kemudian mengejar kereta itu, namun pemandunya terus memecut laju.

“Mangsa yang pada ketika itu berada di atas motosikal miliknya membantu rakannya itu untuk mengejar pemandu kereta berkenaan tetapi tidak berhasil sebelum kereta itu hilang daripada pandangan.

“Pada masa sama, sebuah kereta Perodua Myvi datang dan memintas motosikal mangsa sebelum suspek yang berada di bahagian tempat duduk penumpang melepaskan dua tembakan mengenai bahagian lengan dan perut mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa yang stabil dan dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) memaklumka­n dia tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.

Beliau berkata, mangsa dan rakan-rakannya turut memaklumka­n mereka tidak dapat mengecam wajah suspek memandangk­an cermin kereta itu gelap.

Katanya, semakan ke atas dua kereta itu mendapati ia menggunaka­n nombor pendaftara­n palsu.

“Siasatan di lokasi tidak menemui sebarang kelongsong peluru dan kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

“Usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

 ?? (Foto Mikail Ong /BH) ?? Pemandu forklift yang terkena tembakan mendapat rawatan.
(Foto Mikail Ong /BH) Pemandu forklift yang terkena tembakan mendapat rawatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia