Berita Harian

Hazard lega sumbat gol pertama Real

-

Madrid: Eden Hazard meledak gol pertamanya untuk Real Madrid tetapi kelab gergasi Sepanyol itu terpaksa menangkis semangat juang hebat Granada pada babak kedua sebelum mengesahka­n kemenangan 4-2 dalam saingan La Liga, kelmarin.

Karim Benzema meletakkan Real di depan seawal minit kedua pada aksi di Santiago Bernabeu sebelum Hazard membuka akaun jaringanny­a menerusi penyudah menarik pada penghujung babak pertama.

Jaringan jarak jauh Luka Modric selepas sejam perlawanan berlangsun­g seakan mengesahka­n kemenangan buat tuan rumah tetapi Granada meledak dua gol pantas bermula penalti Darwin Machis dan Domingos Duarte ketika permainan berbaki 12 minit.

James Rodriguez, yang dimasukkan sebagai pemain gantian meredakan kebimbanga­n apabila meledak gol pertamanya untuk Real sejak Mei 2017 bagi melengkapk­an permainan membabitka­n dua kelab teratas liga itu menuju rehat antarabang­sa.

“Kami tidak mahu gawang kami bolos tetapi kadang-kala pihak lawan boleh memberikan kamu banyak tekanan,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane. “Kami tidak mengalah, kami meneruskan­nya dan kami tahu kami akan menjaringk­an gol keempat.”

Sepanjang 60 minit permainan, Real mengawal sebahagian besar perlawanan tetapi pada 20 minit terakhir mencetuska­n kebimbanga­n buat Zidane yang skuad kendaliann­ya sebelum ini diikat Club Brugge 2-2 dalam saingan Liga Juara-juara, awal pagi Rabu lalu.

Selepas lima perlawanan, bekas penyerang Chelsea, Hazard akhirnya menyumbat gol pertamanya dan Zidane mengakui gembira dengan sumbangan pemain yang dibelinya dengan harga AS$109 juta (RM456.23 juta) itu.

“Kami memerlukan Eden seperti itu, bermain dengan baik dan menjaringk­an gol,” kata Zidane. “Dia gembira selepas perlawanan berakhir di bilik persalinan. Kami semua gembira untuknya dan juga gol yang dijaringka­n. Saya berharap ia baru permulaan.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia