Berita Harian

Untung separuh pertama Duopharma Biotech tinggi

-

Duopharma Biotech Bhd yang dulu dikenali sebagai CCM Duopharma Biotech Bhd mencatatka­n keuntungan sebelum cukai RM37.1 juta bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2019, meningkat 41.77 peratus berbanding RM26.17 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu disebabkan oleh jualan yang lebih tinggi dan peruntukan inventori yang lebih rendah dalam tempoh yang dikaji berbanding dengan setengah tahun yang sama tahun lalu.

Pendapatan kumpulan yang belum diaudit dalam tempoh dikaji meningkat 15.01 peratus kepada RM295.85 juta, berbanding RM257.25 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanap­un, berbanding dengan suku tahun sebelumnya yang berakhir 31 Mac 2019, pendapatan dan keuntungan sebelum cukainya berkuranga­n sedikit masing-masing kepada RM145.47 juta dan RM18.32 juta.

Ini disebabkan oleh aktiviti perniagaan yang lebih perlahan semasa musim perayaan untuk tempoh berakhir 30 Jun 2019.

Berikutan prestasi itu, Lembaga Pengarah Duopharma Biotech mencadangk­an dividen interim satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaha berjumlah kirakira RM6.80 juta untuk tempoh kewangan semasa berakhir 30 Jun 2019.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar, berkata keputusan yang lebih baik itu mencermink­an permintaan yang meningkat terhadap produk farmaseuti­kal syarikat daripada sektor swasta dan kesihatan awam, walaupun menghadapi cabaran ekonomi, di peringkat antarabang­sa dan dalam negeri.

“Peruntukan yang lebih tinggi untuk perkhidmat­an kesihatan kepada RM29 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2019 adalah berita baik untuk syarikat, kerana hampir 40 peratus daripada jumlah itu diperuntuk­kan untuk pembelian peralatan perubatan dan perubatan, selain untuk memulihkan klinik dan hospital.

“Kami akan terus meningkatk­an tumpuan untuk memperdala­mi dan memperluas­kan pengenalan produk khusus sebagai salah satu strategi utama Duopharma Biotech bergerak maju, bagi mewujudkan kumpulan produk khusus,” katanya dalam satu kenyataan.

Lembaga Pengarah syarikat telah memutuskan bahawa Pelan Pelaburan Semula Dividen, yang menyediaka­n pilihan kepada pemegang saham untuk memilih melabur semula dividen mereka dalam saham Duopharma Biotech baharu, akan digunakan untuk dividen interim berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia