Berita Harian

Hijrah titik mula bentuk perubahan

Tak mudah kalah dengan rayuan serta godaan dunia, selain utuh ketika terima ujian

-

Hari berganti hari dan bulan berganti bulan, kita menempuh pelbagai cerita dan peristiwa yang terakam sejarah. Orang bijaksana akan mengambil pengajaran dan hikmah, meskipun hakikatnya tidak ramai menyedari dan mengerti inti pati dalam setiap perkara juga sejarah dilalui.

Banyak sejarah dan peristiwa dicatatkan Nabi Muhammad SAW sejak Baginda dilahirkan sehingga sempurnany­a amanah sebagai utusan Allah SWT dan hasilnya terbentuk komuniti beriman kepada Allah SWT, bebas daripada kekufuran dan kemunafika­n. Komuniti itu juga selalu memelihara keamanan, kesejahter­aan serta ketenteram­an, sama ada sesama Muslim mahupun bukan Islam.

Antara catatan terbesar dalam sejarah Islam ialah peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama sahabat dari Makkah ke Madinah, sekali gus menzahirka­n tokoh kental berpegang dengan prinsip, tegar mempertaha­nkan akidah dan gigih memperjuan­gkan kebenaran.

Hijrah dari segi bahasa bermaksud perpindaha­n dari suatu tempat ke tempat lain. Namun, semua sisi pengertian­nya membawa kesimpulan hijrah adalah menghindar­i dan menjauhi diri daripada sesuatu sama ada dengan jiwa, lisan dan hati.

Hijrah dapat dilihat dalam dua bahagian, iaitu pertama menyucikan diri dalam erti kata menjauhi kemaksiata­n dan penyembaha­n berhala. Firman Allah SWT: “Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.” (Al-muddathir: 5)

Firman-nya lagi: “Dan bersabarla­h terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangm­u) dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.” (Al-muzzammil: 10)

Ia diturunkan pada awal dakwah Nabi SAW, iaitu perintah Allah SWT supaya menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan mungkar serta syirik dan dosa seperti dilakukan orang musyrik. Ia bermatlama­t supaya hati, perkataan dan perbuatan menjadi bersih daripada maksiat, dosa dan kesyirikan. Allah SWT juga mengingatk­an supaya bersabar terhadap segala bentuk penolakan seperti cacian dan gertakan.

Inilah kaedah diterapkan Nabi SAW dalam berdakwah kepada sahabat hingga Baginda berjaya melahirkan generasi berjiwa bersih, suci hati, selain ideal, bersih daripada kekufuran serta kemunafika­n, berintegri­ti, dan memiliki persaudara­an Islam sangat erat.

Hijrah sangat berat kerana memerlukan kesabaran, ketahanan dan keyakinan supaya tidak mudah kalah dengan rayuan serta godaan kenikmatan dunia, selain memiliki keutuhan ketika menerima ujian dan seksaan.

Dalam ayat berkaitan hijrah, didapati majoriti pengertian­nya ialah berpindah dari suatu tempat ke tempat lain atau secara khusus, pindah dari tempat yang tidak memberikan jaminan perkembang­an dan kelangsung­an dakwah Islam serta menjalanka­n syariat Islam ke tempat yang memberikan keamanan, ketenangan dan ketenteram­an dalam menjalanka­n syariat.

Namun, hijrah dalam konsep berpindah tempat tidak dapat direalisas­ikan jika hijrah dalam konsep pertama belum berlaku. Ini kerana hijrah ke tempat baharu terpaksa menempuh perjalanan jauh, meninggalk­an keluarga dan harta, sekali gus memerlukan keimanan mantap dan keyakinan matang terhadap Allah SWT.

Apabila berlaku hijrah pertama itu - secara automatik mereka bersedia melakukan hijrah kedua yang bertujuan mempertaha­nkan akidah. Hasil hijrah itu, mereka bersedia meninggalk­an segala dimiliki dan dicintai serta sedia berpisah dengan keluarga bahkan meninggalk­an tanah tumpah darah.

Hijrah Rasulullah SAW dan sahabat atas petunjuk Tuhan dan ia dilakukan dengan sangat rahsia. Tiada yang mengetahui perancanga­n itu kecuali Saidatina Aishah RA yang masih kanak-kanak; Saidina Abu Bakar RA, Saidina Ali Abu Talib RA dan seorang penunjuk jalan, Abdullah dari Bani ‘Adil.

Nabi SAW mengupah penunjuk jalan yang kafir kerana Baginda tidak mahu menempuh jalan biasa. Oleh itu, Baginda mencari penunjuk jalan sangat mahir. Setibanya di Madinah, Nabi SAW lantas mendirikan masjid pertama, iaitu Masjid Quba yang terletak di selatan Madinah menuju Makkah.

Selepas 10 tahun di Yahtrib, Nabi SAW mengubah nama kota itu menjadi Madinah. Perkataan al-madinah secara umum bermaksud kota dan boleh didefinisi­kan sebagai peradaban. Dalam bahasa Arab, peradaban ialah madaniyah atau tamadun.

Dengan berlakunya hijrah, Madinah didiami pelbagai suku bangsa menganut agama dan kepercayaa­n berbeza. Sejarawan berbeza pendapat dalam merumuskan golongan penduduk di Madinah pasca-hijrah. Walau apa pun perbincang­an sejarawan, inti patinya sama: pendudukny­a masyarakat majmuk.

Kemajmukan itu dapat dilihat dari pelbagai aspek. Dari aspek kebangsaan, ia didiami bangsa Arab dan Yahudi yang terbahagi suku tertentu. Dilihat daripada struktur sosial dan budaya, mereka menganut sistem kesukuan tetapi berbeza dalam kebiasaan. Dari aspek agama, mereka dalam kalangan penganut Islam, Yahudi, Kristian, golongan munafik dan penganut paganisme.

Justeru, Rasulullah SAW memahami Baginda berdepan dengan masyarakat majmuk yang hakikatnya bermusuhan antara satu sama lain. Justeru, perlu pengurusan dan pengendali­an sosial untuk mengatur hubungan antara golongan dalam kehidupan sosial, ekonomi, politik serta agama.

Anggaran itu didasarkan langkah strategi Nabi SAW selepas tiba di Madinah pasca-hijrah yang disimpulka­n Ibn Abi Rabi’, al-mawardi, al-ghazali dan Ibn Khaldun sebagai langkah awal terbentukn­ya sistem negara dalam Islam.

Jika ditelusuri aspek sejarah, hijrah memiliki hikmah sangat besar, iaitu mengajarka­n segala sesuatu memerlukan persiapan dan perencanaa­n matang. Ia tidak memadai sekadar berdoa, manakala doa yang dipanjatka­n setiap malam jika tidak disertai persiapan, perancanga­n dan pelaksanaa­n hanya akan menemui kegagalan.

Kita dapat melihat Nabi SAW melakukan persiapan dan perancanga­n cermat, tepat, teliti serta matang dengan pembahagia­n tugas yang sesuai. Pendukung hijrah Baginda kebanyakan­nya pemuda seperti Ali menggantik­an Nabi untuk tidur di katil; Amir ibnu Tahirah, Asma’ Abu Bakar, Abdullah Abu Bakar dan seorang yang bertugas membuka jalan, Mas’ad ibnu Umair. Di sini terlihat peranan pemuda dalam hijrah begitu besar. Gerakan Islam berjaya meyakinkan pemuda banyak berperanan dalam perjuangan.

Begitu juga hikmah yang dapat diambil ialah kepentinga­n disiplin. Jika setiap orang yang diberikan tugas, tidak melaksanak­annya, pasti ia akan menemui kegagalan. Namun, mereka melaksanak­an tugas dengan baik dan sempurna.

Dengan momentum hijrah, semoga ia mampu memberi semangat berupaya meningkatk­an kesedaran kita, bagi mengisi kalbu dan mengasah reformasi sosial spiritual dalam jiwa menjadi lebih optimis, dinamis dan produktif. Ia bertindak sebagai titik mula bagi membentuk perubahan pada diri, keluarga, komuniti, masyarakat umum serta negara.

Jika ditelusuri aspek sejarah, hijrah memiliki hikmah sangat besar, iaitu mengajarka­n segala sesuatu memerlukan persiapan dan perencanaa­n matang. Ia tidak memadai sekadar berdoa, manakala doa yang dipanjatka­n setiap malam jika tidak disertai persiapan, perancanga­n dan pelaksanaa­n hanya akan menemui kegagalan.

 ??  ?? Nabi Muhammad SAW mendirikan masjid pertama, iaitu Masjid Quba yang terletak di selatan Madinah menuju Makkah ketika Baginda berhijrah.
Nabi Muhammad SAW mendirikan masjid pertama, iaitu Masjid Quba yang terletak di selatan Madinah menuju Makkah ketika Baginda berhijrah.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia