Berita Harian

Kontraktor binaan dikenakan penalti

Kesilapan pasang cerucuk jejas bekalan kuasa Rabu lalu

- Oleh Garret Dawum garret@bhnews.com.my

Kuching: Kontraktor binaan yang menjadi punca gangguan kuasa dan kerosakan aset elektrik di negeri ini, akan dikenakan penalti terhadap perbuatan itu oleh Sarawak Energy Berhad (SEB).

Ketua Pegawai Syarikat SESCO Berhad (SESCO), Lau Kim Swee, berkata pihaknya akan teragak-agak mengarahka­n kontraktor menanggung semua kerugian atau kos akibat kerosakan itu.

“Dalam insiden terbaru, kesilapan kontraktor ketika memasang cerucuk untuk paip berhampira­n persimpang­an Jalan Masja dan Jalan Astana menjejaska­n bekalan kuasa.

“Sebahagian besar pengguna elektrik di Kuching termasuk pejabat utama kerajaan, terjejas dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi Rabu lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, biarpun kontraktor sudah menyemak dengan syarikat terlebih dahulu, sebelum memulakan kerja pemasangan cerucuk, namun mereka kurang mempraktik­kan langkah pengawasan dan keselamata­n ketika bekerja di tapak pembinaan.

“Mereka bernasib baik kerana tiada pekerja yang cedera. Kawasan yang terjejas adalah bangunan Baitulmakm­ur, Bangunan Kastam, Bangunan Mahkamah, Vista Tunku, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, Bukit Siol, Kampung Sungai Bedil, Sekolah Kebangsaan (SK) Che Buyong, Jalan Hashim Jaafar, Jalan Merdeka, Kampung Lintang dan SK Gersik.

“Bekalan kuasa hanya berjaya dipulihkan pada tengah hari di sebahagian besar kawasan yang terjejas. Disebabkan pemulihan secara besar-besaran dilakukan terhadap pencawang 11kv di Masja, bekalan elektrik ke bangunan Baitulmakm­ur hanya berjaya dipulihkan pada jam 6.55 petang, ” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia