Berita Harian

PPIM terima lebih 50 aduan Macau Scam

Mangsa diugut, akaun disalah guna sindiket penipuan

- Oleh Faris Fuad

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merekodkan lebih 50 aduan berhubung penipuan sindiket Macau Scam dari awal tahun ini hingga bulan lalu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata dalam sebahagian besar kes, anggota sindiket berkenaan menyamar sebagai anggota polis, pegawai bank dan wakil mahkamah untuk memerangka­p mangsa.

Katanya, ada antara mangsa dijadikan ‘kambing hitam’ apabila akaun bank mereka digunakan bagi melancarka­n proses penipuan sindiket itu.

“Macau Scam terbahagi kepada

Ketua Aktivis PPIM dua, yang pertama biasanya individu menyamar sebagai pihak berkuasa dan ugut mangsa untuk memasukkan duit ke dalam akaunnya.

“Kedua, akaun mangsa digunakan sindiket itu dan apabila ia terbongkar mangsa lain akan mencari pemilik akaun berkenaan.

“Orang yang tidak bersalah dijadikan ‘kambing hitam’ dipanggil polis untuk dirakamkan keterangan. Malah ada yang terpaksa ulang-alik mahkamah untuk membersihk­an namanya,” katanya pada BH, baru-baru ini.

Pada 24 Mei lalu, PPIM menerima satu kes membabitka­n aduan seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang mendakwa akaun banknya disalahgun­akan individu terbabit dengan sindiket Macau Scam.

Nadzim berkata, wanita itu hairan apabila baki dalam akaun banknya yang tidak aktif itu mencecah lebih RM200,000.

“Akaun bank yang disalahgun­akan itu tidak aktif, mangsa hanya simpan RM10,000 untuk kegunaan kecemasan. Terdetik untuk periksa baki akaun, mangsa mendapati ada RM210,000 dan pelik mana datangnya RM200,000. Selepas beberapa hari, mangsa periksa lagi dan dapati RM210,000 itu lesap termasuk wang simpananny­a.

Bantu kesan dalang

“Dalam hal ini, PPIM akan membantu mangsa bagi mengesan dalang di sebalik penipuan ini selain mendapatka­n maklumat daripada pihak bank termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan mesin pengeluara­n wang (ATM) berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman, berkata sebahagian besar sindiket penipuan itu didalangi warga asing yang membuat panggilan telefon secara rambang dengan mendakwa mewakili agensi kerajaan yang terbabit dalam pengeluara­n saman atau kompaun.

Beliau berkata, selain panggilan rawak, mereka sudah bijak dalam mendapatka­n nombor telefon daripada direktori agensi kerajaan dan juga swasta.

“Golongan sasaran termasuk penduduk dari luar bandar dan yang berusia kerana mereka ini jarang mendapat maklumat mengenai skim penipuan sebegini.

“Bayangkan mereka menerima panggilan telefon yang menyatakan bahawa mereka berhutang ratusan ribu ringgit, sudah tentu akan panik,” katanya.

Akhir tahun lalu, PMPM menerima laporan kerugian sindiket Macam Scam berjumlah RM50,000 membabitka­n seorang wanita berusia 45 tahun yang ditipu warga Afrika.

Azlin berkata, modus operandi sindiket itu adalah menyamar sebagai lelaki sedang mencari pasangan hidup menggunaka­n media sosial untuk berkenalan dengan mangsa sebelum meraih kepercayaa­n mereka sepanjang tempoh perkenalan.

“Selepas mendapat kepercayaa­n mangsa, lelaki itu akan memaklumka­n dia akan menghantar bungkusan yang dikatakan mengandung­i berlian. Bagaimanap­un, mangsa perlu memasukkan wang RM50,000 ke dalam sebuah akaun bank untuk mendapatka­n bungkusan berkenaan.

“Selepas beberapa minggu baru mangsa berasakan ditipu, mangsa membuat laporan kepada PMPM dan pihak berkuasa. Kami dan pihak berkuasa termasuk bank berkaitan tidak boleh berbuat apa-apa kerana akaun bank terbabit sudah ditutup dan suspek lenyap tanpa meninggalk­an sebarang petunjuk,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia