Bumiputera Sarawak perlu kuota Matrikulasi
Kuching: Lebih ramai anak Bumiputera Sarawak dikhuatiri akan tercicir sekiranya kuota kemasukan mereka ke Program Matrikulasi dibuka kepada semua kaum.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, berkata anak Bumiputera di negeri ini masih memerlukan kuota itu selepas mengambil kira prasarana pendidikan serba kekurangan berbanding yang dinikmati pelajar lain, terutama di kawasan bandar.
“Jika program ini dibuka kepada semua, bagaimanakah nasib anak Sarawak yang masih belajar di sekolah usang serba kekurangan? Adakah adil bagi mereka bersaing dengan pelajar lain yang memiliki kemudahan dan sumber pendidikan terbaik di bandar untuk memasuki Program Matrikulasi?
1,000 sekolah usang
“Di Sarawak, dianggarkan 1,000 daripada 1,457 sekolah dikenal pasti sebagai usang, menurut Jabatan Pendidikan Negeri. Bukan setakat usang, ada sekolah terbabit juga tiada bekalan elektrik, air bersih, jalan raya mahupun jaringan internet,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, baru-baru ini, yang mempertahankan kuota 90 peratus Bumiputera bagi kemasukan ke Program Matrikulasi.
Justeru, Mohamad Kadim berkata, sebelum sesuatu perubahan kuota dalam Program Matrikulasi mahu dilakukan, isu prasarana persekolahan di negeri ini perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Jaga hak Bumiputera
Beliau berkata, penetapan kuota Bumiputera dalam konteks Sarawak bukan berniat untuk menidakkan pencapaian cemerlang pelajar kaum lain.
“Namun, menjadi tanggungjawab utama kerajaan dalam menjaga hak dan kepentingan kaum Bumiputera yang masih jauh ketinggalan.
“Justeru, dengan adanya peluang pendidikan matrikulasi, anak Bumiputera Sarawak dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan menjadi tenaga pakar di Bumi Kenyalang,” katanya.
Adakah adil bagi mereka bersaing dengan pelajar lain yang memiliki kemudahan” Mohamad Kadim Suaidi , Naib Canselor UNIMAS