Manchester City ‘beli’ kelab Malaysia?
Cadangan Syed Saddiq ketika mesyuarat bersama juara Liga Perdana Inggeris
Selepas Jepun dan Sepanyol, kini falsafah bola sepak Inggeris pula bakal menjadi rujukan sistem pembangunan bola sepak negara sekali gus mencetuskan persoalan terhadap hala tuju sebenar bola sepak tanah air.
Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Manchester City di Kementerian
Belia dan Sukan, semalam.
Syed Saddiq, berkata hasil daripada mesyuarat itu menyaksikan kemungkinan wujudnya jalinan kerjasama untuk City membangunkan bola sepak di sini termasuk menjadikan sebuah kelab di Malaysia sebagai kelab sokongan.
Bagaimanapun, langkah berkenaan dilihat bercanggah dengan kerjasama antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) serta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama La Liga di Sepanyol.
Ditanya berhubung perkara terbabit, Syed Saddiq begitupun menafikannya kerana percaya jalinan kerjasama itu membabitkan perspektif berbeza.
Tak bertindih
“Tidak... kerjasama dengan JFA dari aspek lain. Ada beberapa perspektif yang akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat ini khususnya bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menjalankan tugas dengan baik.
“Sebagai contoh, prospek untuk menghantar pemain ke Jepun. Kita ada beberapa pemain sudah beraksi bersama kelab mereka tetapi kita masih cuba menambah dan pada masa sama kita juga mahu melakukan pertukaran kepakaran jurulatih.
“Sebab bila saya berjumpa Presiden JFA pihaknya menyatakan pada tahun 1980-an Jepun banyak belajar daripada kita, sekarang masa untuk mereka pula membantu kita. Apapun, saya rasa langkah ini tidak bertindih,” katanya.
Tanda tanya turut timbul membabitkan kelab manakah yang bakal menjadi pilihan City sebagai kelab sokongan mereka apabila Syed Saddiq membayangkan sebuah kelab di Malaysia mungkin ‘dibeli’ juara Liga Perdana Inggeris itu.
“Manchester City mempunyai tujuh kelab sokongan di serata dunia. Saya harap menerusi kerjasama ini akan adanya sebuah kelab City dapat berpangkalan di negara ini bagi meningkatkan lagi mutu pemain kita. Namun ia (perbincangan) masih di peringkat awal dan akan dimuktamadkan nanti,” katanya.