TNB ajak meriahkan raya di desa
Iklan ‘Konvoi Epik Fantastik’ pertahan budaya saling mengunjungi
Pengalaman balik ke kampung yang menjadi sebahagian tradisi sambutan Aidilfitri setiap tahun menjadi tunjang kepada iklan hari raya Tenaga Nasional Berhad (TNB), tahun ini.
TNB memaparkan iklan raya
yang mengetengahkan tradisi saling mengunjungi pada musim perayaan bertajuk Konvoi Epik Fantastik yang bakal ditayangkan di televisyen bermula 1 Jun depan.
Bagaimanapun, siaran penuh iklan berkenaan boleh ditonton di saluran Youtube, Tenagaofficial bermula kelmarin.
Sesuai semua kaum
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman, berkata iklan itu menjadi sebahagian daripada tradisi TNB menyampaikan mesej bermakna ketika sambutan pelbagai perayaan dan budaya sepanjang tahun.
Katanya, seperti iklan perayaan TNB sebelum ini, antara mesej disampaikan melalui plot iklan kali ini bukan sahaja khusus untuk umat Islam yang menyambut perayaan, sebaliknya sesuai untuk semua kaum.
“Iklan raya kali ini memaparkan unsur kekeluargaan seperti tolak ansur, hormat-menghormati, kesefahaman dan keikhlasan dalam mengukuhkan hubungan silaturahim, seterusnya menjadikan ia lebih erat dan bermakna.
“Kita juga ingin berkongsi kemeriahan sambutan raya dengan tradisi saling mengunjung supaya kekal sebagai budaya memupuk semangat persaudaraan dan kekeluargaan yang kuat,” katanya berucap pada Majlis Pratonton Eksklusif Iklan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Bangunan Art Printing Works, Bangsar, di sini, semalam.
Pelbagai babak cuit hati
Konvoi Epik Fantastik yang memaparkan pengalaman dan tradisi sambutan hari raya seorang gadis bandar, Nabila yang berkonvoi ke 10 rumah adik-beradik datuknya.
Sepanjang perjalanan itu, terdapat pelbagai babak menyentuh perasaan dan mencuit hati bagi memastikan tradisi kunjung-mengunjungi diterapkan dalam masyarakat.
Iklan raya kali ini papar unsur kekeluargaan seperti tolak ansur, menghormati, kesefahaman dan keikhlasan” Roslan Ab Rahman, Ketua Pegawai Korporat TNB