Kaedah subsidi petroleum bersasar sudah dimuktamad
KPDNHEP bentang kajian ke Kabinet sebelum dilaksana
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selesai memuktamadkan kajian berhubung mekanisme subsidi petroleum bersasar baharu, kata menterinya, Datuk Seri Saifuddin
Nasution Ismail.
Beliau berkata, hasil yang dimuktamadkan itu akan dibentangkan ke Kabinet terlebih dulu sebelum boleh dilaksanakan.
Katanya, pelaksanaan mekanisme subsidi petroleum bersasar baharu perlu mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk penentuan harga kesan kenaikan harga minyak mentah dunia dan kepentingan pemegang taruh.
“Saya masih menunggu saat sesuai dan tepat untuk membentangkan perkara itu kepada jemaah menteri kerana ia membabitkan impak kewangan kerajaan, kesediaan pemegang taruh seperti syarikat minyak dan pengedar petroleum, selain keperluan rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan wajah baharu Pasaraya Besar Giant Batu Caves di sini, semalam.
Beliau ditanya mengenai pelaksanaan mekanisme subsidi petroleum bersasar baharu yang dikatakan akan dilaksanakan tahun ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dilaporkan berkata, kerajaan dijangka mengumumkan mekanisme subsidi petroleum bersasar baharu awal tahun ini.
Saifuddin Nasution berkata, kerajaan perlu meneliti sebelum melaksanakan mekanisme berkenaan supaya mencapai matlamatnya.
Katanya, kerajaan memang berada dalam garis masa untuk pelaksanaan mekanisme itu.
“Kita mahu apabila dilaksanakan nanti, ia memberi kelegaan kepada semua pihak terbabit terutama rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifudin Nasution berkata, kementeriannya tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan domestik pada musim perayaan.
Berikutan itu, katanya, kementeriannya tidak boleh membawa isu berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Kena berlaku adil
“Saya kena berlaku adil kepada syarikat penerbangan juga. Kalau ada asas seperti aduan tindakan boleh diambil. Setakat ini, aduan berhubung perkara itu belum kita terima.
“Saya setiap hari periksa aduan pengguna kepada kementerian dan ada tiga aduan paling banyak diterima iaitu kenaikan harga barang, penipuan perniagaan dalam talian dan iklan yang mengelirukan,” katanya.
Semalam, BH melaporkan gesaan persatuan pengguna supaya kerajaan mengarahkan syarikat penerbangan tempatan, mengurangkan harga tiket penerbangan domestik menjelang Aidilfitri.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, dilaporkan berkata ramai pengguna terkesan dengan kenaikan harga tiket terbabit pada musim perayaan.
Saifuddin Nasution berkata, paling penting pengguna perlu bijak merancang untuk membeli tiket penerbangan supaya mendapat harga yang murah.
“Pilihan terletak di tangan pengguna, beli tiket awal dan pilih syarikat penerbangan yang menawarkan harga murah,” katanya.