Berita Harian

Tiada janji duit raya untuk peneroka

-

Gombak: Kerajaan setakat ini tiada keputusan berhubung pemberian ‘duit raya’ kepada 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara, susulan keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebaliknya berkata keutamaan kerajaan kini ialah untuk memastikan pinjaman sara hidup dan pendahulua­n hasil dibayar kepada peneroka sebelum Aidilfitri.

Beliau menjelaska­n, kerajaan tidak berupaya memberikan sebarang janji dalam mengumumka­n ‘duit raya’ kepada peneroka seperti amalan yang dilaksanak­an sejak 2011, bagi memastikan setiap perbelanja­an menepati matlamat jangka panjang dan lestari.

“Saya tidak mahu berikan sebarang janji (beri duit raya kepada peneroka FELDA) kerana untuk dapatkan RM6.23 bilion pun perkara yang amat besar bagi kerajaan susulan kedudukan kewangan negara. Mohamed Azmin Ali

“Selain itu, kita enggan peruntukka­n perbelanja­an yang tidak dapat beri manfaat kepada peneroka,” katanya kepada pemberita selepas Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri kepada 500 penerima daripada golongan miskin di Gombak Setia di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham; Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Incorporat­ed (MBI Selangor), Soffan Affendi Aminudin dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandara­n Selayang, Datuk Juhari Ahmad.

Keutamaan bela kebajikan

Meyakini peserta tanah rancangan FELDA memahami kedudukan kewangan kerajaan, Mohamed Azmin berkata keutamaan ketika ini ialah bagi membela kebajikan dan nasib peneroka untuk jangka panjang.

“Menerusi pertemuan dengan peneroka di Jempol, sambutan sangat positif kerana yakin kerajaan komited untuk bantu mereka, khususnya dalam menyelesai­kan isu pinjaman sara hidup dan pendahulua­n hasil,” katanya.

Mengulas catatan terbaru wartawan veteran merangkap Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, supaya menteri Kabinet, Menteri Besar dan EXCO yang masih kurang menonjol mengundurk­an diri secara sukarela, Mohamed Azmin berkata persoalan sedemikian tidak timbul.

Timbalan Presiden PKR itu sebaliknya menegaskan, kata putus sama ada kepemimpin­an kerajaan ketika ini gagal atau berjaya menggalas tugas terletak di tangan rakyat yang memberikan mandat kepada kerajaan baharu, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Rakyat nilai kejayaan

“Yang tentukan menteri atau menteri besar berjaya atau tidak ialah rakyat, bukan individu seperti dinyatakan kerana PM (Perdana Menteri) sendiri nyatakan beliau tidak berhasrat untuk lakukan rombakan.

“PM menghargai Jemaah Menteri hari ini, yang sebahagian besar adalah muka baharu tapi dalam tempoh sebegini singkat mereka amat komited laksanakan tugas dengan baik.

“Beri peluang. Paling penting pasukan Tun Dr Mahathir (Mohamad) ialah muda, bertenaga, integriti, kerja kuat dan ingin bina semula ekonomi,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia