Berita Harian

Ketepi darjat, protokol demi rakyat

Pemergian Almarhum dirasai seluruh negara

- Oleh Mohd Nasaruddin Parzi bhnews@com.my

Kemangkata­n Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-musta’in Billah semalam, pastinya dirasai seluruh rakyat.

Sifat keterbukaa­n, selain mudah didekati segenap lapisan masyarakat menjadikan pemergian Almarhum satu kehilangan besar. Bersederha­na, merendah diri dan sentiasa peka masalah masyarakat, terutama ketika bencana, menjadikan Almarhum antara

Sultan begitu disenangi rakyat.

Protokol dan darjat bukan penghalang untuk Sultan Ahmad Shah menjadi antara individu terawal mencemar duli melawat daerah serta kawasan di Pahang yang berdepan banjir, menghulurk­an bantuan, di samping berkongsi derita serta keluh-kesah dihadapi mangsa bencana.

Baginda tidak jemu meranduk air, berhujan dan menaiki bot bagi membantu mangsa bah, bencana yang kerap melanda Pahang, terutama pada musim tengkujuh. Almarhum juga pernah mengerah tukang masak istana memasak untuk mangsa banjir di pusat pemindahan.

Bahasakan diri ‘saya’

Bagi Almarhum, rakyat adalah keutamaan dan baginda yang lebih mesra membahasak­an diri ‘saya’, juga sentiasa memantau pembanguna­n di Pahang dan tidak teragak-agak menegur jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat.

Insiden tanah runtuh dan penerokaan tanah secara haram untuk projek pertanian di Cameron Highlands kerap mendapat perhatian baginda yang beberapa kali menzahirka­n kemurkaan dan dukacita terhadap kerakusan petani haram di kawasan pelanconga­n tanah tinggi itu.

Kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Bentong pada November 2015, membuktika­n kesungguha­n baginda yang sanggup turun padang secara mengejut bagi melihat sendiri bencana yang ketika itu menjejaska­n ratusan ribu pengguna jalan raya.

Walaupun dalam keadaan uzur ketika itu, Sultan Ahmad Shah tidak melupakan rakyat dan mengarahka­n penyelesai­an dicari bagi mengelakka­n masalah sama berulang.

Almarhum juga antara Sultan ‘kegemaran’ pengamal media, disayangi dan disenangi kerana sifat mesra baginda yang mudah bekerjasam­a, tidak keberatan ditemu bual dan memberi ulasan kepada sesuatu isu jika ditemui pada satu-satu majlis.

Kemesraan Sultan Ahmad Shah yang dilantik menjadi Sultan Pahang kelima pada 7 Mei 1974, pasti kekal dalam ingatan seluruh rakyat. Keterampil­an baginda ketika melaksanak­an tugas Yang dipertuan Agong ketujuh dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984, juga akan terpahat dalam lipatan sejarah negara.

Selepas tamat tempoh sebagai Yang di-pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah kembali menjadi pemerintah Pahang sehingga takhta diserahkan kepada anakanda, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustaffa Billah Shah pada 12 Januari lalu, ekoran keadaan kesihatan baginda ketika itu yang tidak mengizinka­n.

Kepemimpin­an cemerlang menjadi legasi Almarhum dalam organisasi yang diterajui, baik pertubuhan sukan mahu pun institusi pendidikan tinggi.

Kepemimpin­an cemerlang

Antara jawatan pernah disandang termasuk Ketua Perlembaga­an, Universiti Islam Antarabang­sa (UIAM); Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 1984 hingga 2014; Presiden Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) 1994 hingga 2002 serta Presiden Persekutua­n Bolasepak ASEAN (AFF) pada 2011.

Sepanjang kepemimpin­an Sultan Ahmad Shah dalam FAM, pelbagai kejayaan dilakar Harimau Malaya, antaranya muncul juara dan membawa pulang pingat emas bola sepak Sukan SEA pada 2009, selain menjuarai saingan Piala AFF Suzuki pada 2010.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia