Berita Harian

Malaysia tawar biasiswa kepada pelajar Palestin

Tajaan RM11.4 juta beri peluang lanjut pengajian di 12 universiti terkemuka

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail irwansha@nstp.com.my

Kerajaan bersetuju untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin bagi menyambung pengajian di 12 universiti terkemuka di Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, biasiswa berkenaan ditawarkan kepada pelajar terpilih, melalui Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

“Biasiswa ini membolehka­n pelajar Palestin melanjutka­n pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah di 12 universiti di Malaysia.

“Kepada pelajar Palestin yang dipilih, saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama komuniti Palestin anjuran PCOM di sini, semalam.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin

Nasution Ismail; bekas Pengerusi Hamas, Khalid Mashal; dan Pengerusi PCOM, Muslim Imran.

Tajaan keseluruha­n

Tajaan biasiswa bernilai RM11.4 juta itu membabitka­n Albukhary Internatio­nal University, Management and Science University (MSU), Universiti Mahsa, Kolej Universiti Islam Perlis dan City University.

Ia turut membabitka­n Universiti Multimedia (MMU), Universiti UCSI, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Sunway, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dr Mahathir berkata, beliau juga gembira dengan peranan dimainkan PCOM yang komited dalam menyokong pembebasan Palestin, termasuk membina persefaham­an budaya antara Malaysia dan Palestin.

“PCOM memainkan peranan penting dalam membina persefaham­an budaya antara Palestin dan Malaysia, meningkatk­an kesedaran tentang isu Palestin dan menggerakk­an politik sokongan terhadap hak Palestin,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Perdana Menteri mengulangi pendirian Malaysia menyokong perjuangan Palestin dan mengutuk tindakan zalim Israel, terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, Israel berterusan melanggar undang-undang antarabang­sa dan hak asasi manusia, yang mana penempatan haram Israel dibina setiap hari dan rakyat Palestin dinafikan hak mereka daripada memasuki tanah air mereka sendiri.

“Bagi mencapai perdamaian, masyarakat antarabang­sa perlu mencari penyelesai­an bagi penempatan semula rakyat Palestin di tanah mereka, yang dirampas secara tidak sah oleh Israel.

“Ini sekali gus mampu menamatkan tindakan pembunuhan besar-besaran tentera Israel dan pendudukan Israel di tanah Paelstin.

Gesa beri keadilan

“Selagi isu ini berlanjuta­n dan rakyat Palestin tidak diberi keadilan, konflik di Asia Barat akan berterusan, menjadi tempat melahirkan pengganas dan militan yang kemudian menular di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata, hampir semua rakyat Malaysia sudah memahami penderitaa­n yang dialami rakyat Palestin.

“Kita gunakan platform antarabang­sa bagi menyatakan suara dan pendirian terhadap kekejaman ini, selain membantah tindakan dilakukan Israel.

“Malaysia juga banyak menyertai misi bantuan antarabang­sa menerusi laluan laut dan darat ke Gaza, dengan tindakan ini sebagai peringatan kepada komuniti antarabang­sa mengenai penderitaa­n rakyat Palestin,” katanya.

 ?? [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] ?? Dr Mahathir dan Muslim (lima dari kanan) bersama sebahagian penaja pada majlis berbuka puasa bersama komuniti Palestin anjuran PCOM di Putrajaya, semalam.
[FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] Dr Mahathir dan Muslim (lima dari kanan) bersama sebahagian penaja pada majlis berbuka puasa bersama komuniti Palestin anjuran PCOM di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia