Aplikasi bioteknologi tangani pencemaran sisa plastik
plastik semakin meruncing di Malaysia sehingga mengakibatkan pelbagai kesan negatif seperti banjir kilat serta membahayakan hidupan liar.
Berdasarkan laporan antarabangsa dikeluarkan pada 2015, Malaysia di kedudukan kelapan antara 10 negara yang menyumbang pembuangan sisa plastik.
Sejak 2011, beberapa negeri mengambil langkah drastik mengharamkan penggunaan beg plastik seperti Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Terbaru, Wilayah Persekutuan juga mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik.
Di pihak Kerajaan Pusat, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melancarkan ‘Pelan Tindakan Menuju Penggunaan Sifar Plastik Sekali Guna’ yang menyasarkan pengurangan pencemaran sisa plastik secara holistik bermula 2018 hingga 2030.
Kemajuan bioteknologi yang semakin berkembang dilihat menangani masalah pencemaran sisa plastik. Pada 2016, sekumpulan penyelidik Jepun menemui bakteria yang boleh menghasilkan enzim yang mampu mencernakan plastik dari jenis polyethylene terephthalate (PET).
Temui serangga urai plastik
Penyelidik Eropah pula menemui serangga yang mampu menguraikan beg plastik diperbuat daripada sumber petroleum.
Hasil penemuan bioteknologi ini berpotensi digunakan bagi membersihkan sisa plastik dari petroleum yang tercemar dan tidak boleh dikitar semula.
Penggantian plastik berasaskan petroleum kepada plastik bio juga mampu mengurangkan kesan pencemaran. Plastik berasaskan petroleum mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai, sedangkan plastik bio hanya mengambil masa enam hingga 12 bulan untuk terurai. Ia juga tidak mendatangkan mudarat kepada alam sekitar.
Selain kelestarian penghasilan plastik bio yang bahan asasnya boleh diperoleh daripada sisa buangan pertanian, peluang Malaysia menjadi hab industri plastik bio juga amat cerah kerana negara sememangnya menjadi peneraju dalam industri plastik dunia.
Bagi memastikan aplikasi bioteknologi diguna pakai secara menyeluruh dan menghasilkan impak maksimum dalam menangani isu pencemaran plastik, koordinasi pelbagai pihak, termasuk kementerian serta agensi kerajaan yang berkaitan serta penyelidik tempatan, perlulah diperkemas dan diberi lebih perhatian oleh pihak kerajaan.
Hermadiana Mat Presiden Biomaterial & Biotechnology Malaysia