Ilmu, pertimbangan elak fitnah tersebar
Kemajuan teknologi komunikasi yang memudahkan akses terhadap pelbagai maklumat menyebabkan ramai dalam kalangan umat Islam gagal menentukan kebenaran, sekali gus membezakannya dengan kepalsuan.
Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Zolkharnain Abidin, berkata dunia sekarang tidak mempunyai sempadan dan perkara yang berlaku di luar negara atau di mana-mana terlalu cepat tersebar di media sosial.
Katanya, jika perkara yang disebarkan itu benar dan baik sudah tentu ia membawa manfaat kepada seluruh masyarakat, tetapi apa membimbangkan perkara tidak sepatutnya dikongsi atau disebarkan.
“Di internet, kita boleh mengakses pelbagai maklumat dan perkara yang membawa kepada kebaikan antaranya perkongsian tulisan atau ceramah agama yang disampaikan ulama, dari seluruh dunia yang boleh dibaca serta difahami bersama.
“Dunia internet sebenarnya bukan dunia ‘kotor’ sepenuhnya, tetapi ia disalah guna masyarakat sehingga membawa kepada ke- mudaratan,” katanya dalam Forum Hal Ehwal Islam ‘Rahmat Hidup Bersyariah’ di Masjid Ar Rahman Pulau Gajah Sabak, Pengkalan Chepa di sini.
Yang turut hadir bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah.
Guna sebaiknya kemudahan diberi
Zolkharnain berkata, Allah SWT mengurniakan ilmu pengetahuan kepada manusia hingga mereka boleh mencipta teknologi termasuk teknologi maklumat seperti media sosial yang segala maklumat sampai kepada kita hanya dengan menggunakan hujung jari.
“Jadi, kita sebagai orang Islam perlu menggunakan kemudahan ini ke arah perkara yang membawa faedah, bukan kepada perkara membawa mudarat dengan penyebaran berita palsu tanpa usul periksa, terutamanya mereka yang ‘mesra media.’
“Tanpa ilmu dan pertimbangan mendalam, kepalsuan seperti khabar angin, berita tidak benar serta fitnah boleh menenggelamkan kebenaran,” katanya.
Katanya sebagai contoh, penyebaran berita kononnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyokong isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), sekali gus mustahil kerana beliau Muslim berpendidikan di Universiti Al Azhar dan ijazah doktor falsafah (PHD) dalam bidang pengajian Islam, serta dipertanggungjawabkan dalam hal pentadbiran agama.
“Secara logiknya, mustahil beliau menyokong dan menyebarluaskan isu LGBT hingga sanggup membiarkan perkara yang dikutuk serta dilaknat Allah SWT ini tersebar dalam masyarakat.
“Sebaliknya usaha beliau sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga pentadbiran hal ehwal Islam adalah menyantuni golongan ini dan menarik mereka kembali ke jalan Allah SWT.
Sebar berita tidak betul di media sosial
“Namun, ada dalam kalangan pengguna media sosial berasa seronok kerana dapat menyebarkan berita sensasi, meskipun mengetahui ia tidak betul, hanya kerana untuk mendapatkan lebih banyak butang like di Facebook,” katanya.
Beliau berkata, segala kemudahan yang Allah SWT berikan seharusnya dijadikan sesuatu yang boleh mendatangkan rahmat kepada kehidupan kita.
“Jangan menggunakannya untuk menyebar berita palsu tetapi sebarlah kebaikan dan jika kita mengetahui sesuatu berita palsu, kita perlu sedaya upaya memperbetulkan hal itu semula kerana ia adalah perkara mungkar.
“Jadikan ilmu pengetahuan dan teknologi yang diberikan ini ke arah perkara yang boleh menyatupadukan umat Islam, bukan alat memecahbelahkan kehidupan sesama kita,” katanya.
Katanya, ramai dalam kalangan umat Islam yang hanya mengutamakan ilmu dunia, sekali gus perlu diperbetulkan.
“Apatah lagi dalam Islam, apa yang kekal dan penting di alam sana ialah ilmu yang dipelajari untuk dijadikan bekalan di akhirat,” katanya.