6 TERKORBAN PUSAT HIBURAN TERBAKAR DI IPOH
Enam maut, dua cedera kebakaran awal pagi di pusat hiburan
Pelan asal bangunan pusat hiburan yang mengorbankan enam nyawa, termasuk dua lelaki warga tempatan di Times Square, Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini semalam adalah bangunan pejabat, namun pemilik premis tidak mengemukakan pertukaran status sejak pertukaran milik lebih 10 tahun lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, berkata beliau dimaklumkan pelan asal bangunan berkenaan adalah milik sebuah syarikat pemaju hartanah yang bangunan pejabatnya terletak bersebelahan premis terbabit.
Katanya, selepas syarikat pemaju berkenaan menjual kepada pemilik premis baharu, pihaknya tidak menerima pelan untuk pindaan bangunan daripada pemilik berkenaan.
“Pelan asal dalam simpanan bomba adalah bangunan pejabat, namun blok bangunan (pusat hiburan) itu sudah dijual kepada pemilik baharu, jadi bangunan itu ada berlaku change of use (perubahan kegunaan) untuk pusat hiburan.
“Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada mereka ada mengemukakan pelan untuk pindaan dan kalau ikut pelan asal pejabat, ia mempunyai hose reel dan alat pengesan asap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 5.30 pagi itu, dua lelaki warga tempatan iaitu Tai Chee Kin, 37, dan Lau Wai Hoong, 36, ditemui maut di tingkat lima premis berkenaan.
Turut ditemui maut, Chooi Keng Heem, 31, dua wanita warga Vietnam iaitu Ngu Yen Thi Trang, 19, dan Ngu Yen Thi Thuy Duong, 20, serta lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Johirul Islam, 26, yang ditemui di tingkat empat premis berkenaan.
7 mangsa diselamatkan
Kejadian itu turut menyebabkan dua cedera, manakala tujuh orang terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan pula berjaya menyelamatkan diri.
Sayani berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya dimaklumkan 14 individu terperangkap dalam bangunan itu.
“Anggota berjaya mengawal kebakaran yang berpunca di tingkat empat premis dan siasatan awal mendapati mangsa yang menyedari kebakaran itu berlari ke tingkat lima.
“Seramai lapan mangsa terperangkap berjaya diselamatkan, namun dua daripadanya sesak nafas yang teruk dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan,” katanya.
Menurutnya, bomba menemui dua lelaki tempatan di tingkat lima bangunan dan menurunkan kedua-dua mayat pada jam 6.09 pagi, sebelum pemeriksaan di tingkat empat bangunan berkenaan menemui empat lagi mayat.
“Mayat seorang wanita warga Vietnam ditemui dalam sebuah bilik, manakala seorang lagi wanita warga sama dan seorang lelaki warga Bangladesh serta seorang lagi lelaki ditemui dalam bilik air bilik sama sebelum semua dibawa keluar jam 11.40 pagi,” katanya.
Sayani berkata, semua mangsa yang mati dipercayai disebabkan sesak nafas akibat asap tebal, namun satu daripada mayat lelaki tempatan yang ditemui mengalami sedikit kesan lecur.
Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memecahkan dinding dan cermin bangunan bagi membebaskan udara.
Miliki lesen
Sementara itu, jurucakap Pejabat Daerah dan Tanah Kinta berkata, mengesahkan bangunan itu memiliki lesen pusat hiburan yang sah yang dikeluarkan pihak Pejabat Daerah dan Tanah, namun semua pusat hiburan di daerah itu hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 pagi pada hari biasa dan sehingga jam 2 pagi malam minggu.
“Sekiranya berlaku pelanggaran syarat ditetapkan, tindakan dan siasatan akan diambil mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Perak 1997," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini akhbar melaporkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak sudah membekukan pengeluaran sebarang lesen pusat hiburan, malah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong, dilaporkan berkata sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menjalankan operasi premis secara haram, perkara itu boleh dimaklumkan kepada kerajaan negeri.
Choo Kiong turut dipetik sebagai berkata, pengeluaran lesen kini di bawah pejabat daerah dan tanah, bukan lagi PBT, sementara operasi penguat kuasaan dilakukan polis.
Pelan asal dalam simpanan bomba adalah bangunan pejabat, namun blok bangunan (pusat hiburan) itu sudah dijual kepada pemilik baharu, jadi bangunan itu ada berlaku change of use (perubahan kegunaan) untuk pusat hiburan. Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada mereka ada mengemukakan pelan untuk pindaan” Sayani Saidon, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak